Dewan Negara Lulus Dua Rang Undang-Undang Berkaitan Pembiayaan COVID-19

KUALA LUMPUR, 25 Okt – Dewan Negara hari ini meluluskan dua Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan pembiayaan bagi pandemik COVID-19 dan wabak penyakit berjangkit.

RUU yang diluluskan ialah Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19)) (Pindaan) 2021 dan Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) (Pindaan) 2021.
Shahar Abdullah
Kedua-dua RUU itu masing-masing dibentangkan Timbalan Menteri Kewangan I Mohd Shahar Abdullah dan Timbalan Menteri Kewangan II Yamani Hafez Musa diluluskan selepas bacaan kali ketiga dengan mendapat lebih suara bersetuju Ahli Dewan Negara.

Terdahulu, 14 senator mengambil bahagian pada sesi perbahasan RUU Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19)) (Pindaan) 2021 yang bertujuan membiayai empat pakej bantuan dan rangsangan yang diumum kerajaan sejak awal tahun ini.

Mohd Shahar ketika menggulung RUU berkenaan berkata Pelan Pemulihan Negara (PPN) memberi kesan melibatkan ekonomi negara berkembang kepada 7.1 peratus pada separuh tahun ini, berbanding menguncup 8.4 peratus dalam tempoh 2020.

“Bajet 2022 yang kita akan umumkan Jumaat ini memberi tumpuan kepada tiga perkara utama iaitu memulih, membina ketahanan atau daya tahan dan memangkin pembaharuan.

“Ini sebenarnya sudah pasti kita akan beri tumpuan kepada tiga kelompok utama iaitu rakyat, keduanya perniagaan dan sudah pastinya pada ekonomi,” katanya.

Sementara itu, lapan senator mengambil bahagian membahaskan RUU KWAN (Pindaan) 2021 bertujuan mengekalkan penggunaan dana (KWAN) bagi pemerolehan vaksin dan apa-apa perbelanjaan berhubung vaksin untuk apa-apa wabak penyakit berjangkit.

Yamani Hafez ketika menggulung RUU tersebut berkata dana KWAN masih berbaki RM15 bilion selepas RM5 bilion digunakan untuk pemerolehan vaksin COVID-19.

Beliau berkata usaha untuk menambah semula dana KWAN akan dilaksanakan setelah ekonomi negara kembali stabil dengan kerjasama pelbagai pihak berkaitan.

“Komitmen kita daripada kerajaan persekutuan dan (kerajaan) negeri turut mengambil bahagian dalam inisiatif membaik pulih dana KWAN pasca pemulihan ekonomi yang mana ia amat penting di samping mengukuhkan tadbir urus penggunaan dana KWAN untuk memastikannya dapat menjalankan peranannya seperti termaktub dalam Seksyen 5 Akta 339,” katanya.

Dua RUU berkenaan sebelum ini dilulus Dewan Rakyat pada 11 Okt lepas.

Persidangan Dewan Negara bersambung esok. – BERNAMA