Bayaran BKP RM500 Mulai Esok – PM Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 25 Okt – Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP) sebanyak RM500 akan dibayar secara sekali beri (one-off) mulai esok bagi membantu rakyat yang terkesan akibat COVID-19, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata bantuan itu akan memberi manfaat kepada hampir 870,000 individu yang hilang pendapatan pada tahun ini.

“Kesemua bantuan ini melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM434 juta demi memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

BKP diberikan kepada pekerja yang kehilangan sumber pendapatan berdasarkan data Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dalam tahun 2021.

Ismail Sabri berkata kerajaan terus komited dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia sentiasa terbela, terutama kumpulan sasar yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Beliau berharap semoga bantuan berkenaan dan juga bantuan tunai lain yang disediakan kerajaan dapat mengurangkan beban kewangan Keluarga Malaysia dalam mengharungi tempoh masih mencabar ini.

Semakan status kelulusan BKP boleh dibuat mulai esok melalui Portal BKP, iaitu https://bkp.hasil.gov.my dan untuk maklumat lanjut, penerima BKP juga boleh merujuk Soalan Lazim (FAQ) yang turut dimuat naik di portal berkenaan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.