Penerima Hak Milik Kekal Diingatkan Tidak Jual Tanah – MB Pahang

KUANTAN, 22 Okt – Kerajaan Pahang mengingatkan penerima hak milik kekal tanah supaya tidak menjual tanah masing-masing sewenang-wenangnya kerana dilihat akan merugikan mereka.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata pemilikan tanah bukan sesuatu yang mudah diperoleh malah prosesnya turut mengambil masa sehingga ada yang terpaksa menunggu puluhan tahun.

“Kita tak galak mereka jual kepada orang lain…bukan senang nak dapat (tanah), proses pemilikan juga ambil masa, kalau mereka jual maknanya mereka yang tidak ada tanah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Suratan Hak Milik Kekal Taman Sepakat dan Sumbangan Wang Ihsan Banjir yang turut dihadiri Timbalan Menteri Kewangan I merangkap Ahli Parlimen Paya Besar Mohd Shahar Abdullah.

Pada majlis berkenaan seramai 81 individu menerima geran hak milik kekal tanah masing-masing manakala 2,990 ketua keluarga mangsa banjir sekitar Kuantan diberikan bantuan wang tunai sebanyak RM500 seorang.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata beliau berharap individu yang sudah mendapat hak milik tanah itu menguruskannya sebaik mungkin.

“Jika belum ada rumah, bina rumah atau seumpamanya…sebelum ini kita beri hak sementara sekarang dah kekal dan jadi hak mutlak mereka, justeru saya harap mereka uruskan tanah itu dan jaga baik-baik,” katanya.

Sementara itu, Jabariah Dilu, 78, berkata penantian beliau selama lebih 40 tahun berakhir dengan penerimaan hak milik kekal tanah tersebut hari ini.

“Sudah tentu gembira dan lega kerana sekian lama menunggu akhirnya saya mendapat status pemilik kekal tapak rumah yang didiami kami sekeluarga sejak puluhan tahun. Terima kasih kerajaan negeri,” kata ibu kepada tiga anak itu. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.