38 Projek Bekalan Air Luar Bandar Sedang Dilaksana Di Sarawak – Mahdzir Khalid

KUCHING, 22 Okt – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sedang melaksanakan 38 buah projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) di seluruh Sarawak.

Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata sebanyak RM1.7 bilion diperuntukkan bagi projek tersebut tahun ini.

“Ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab KPLB berkaitan dengan prasarana rakyat khususnya di Sarawak,” katanya kepada pemberita selepas meninjau tangki air aras tinggi dan simbolik penyerahan projek bekalan air luar bandar di Kampung Mentong Merau/Mongkos hari ini.

Turut hadir Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak Datuk Amar Michael Manyin, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar II, Datuk Hasbi Habibollah dan Ketua Setiausaha KPLB Datuk Ramlan Harun.

Mengenai projek bekalan air di Kampung Mentong Merau/Mongkos itu, Mahdzir berkata projek tersebut bermula sejak 2017 dan melibatkan kos RM112 juta yang memberi manfaat kepada 14,385 penduduk di kawasan terbabit.

“Pembinaannya melibatkan kerja saluran paip sepanjang 165 kilometer dengan melibatkan pemasangan paip rumah ke rumah dan pembinaan stesen pam penggalak,” katanya.

Beliau berkata jika semuanya berjalan lancar, semua penduduk di kawasan berkenaan akan dapat bekalan air bersih menjelang hujung tahun ini. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.