SPR Bentang SOP PRN Melaka Esok

KUALA LUMPUR, 21 Okt – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan membentangkan prosedur operasi standard (SOP) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, esok.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kementerian berkenaan akan turut memberikan pandangan berhubung perkara terbabit pada mesyuarat sama.

Beliau berkata setiap SOP yang dicadangkan oleh SPR akan mengambil kira pengalaman PRN Sabah tahun lepas.

“Kita akan pastikan apa yang berlaku di Sabah tidak berulang… dan pandangan saya, semasa PRN Sabah kita belum ada vaksinasi dan kita terima hakikat di Sabah pada masa itu tiada penularan varian Delta.

“KKM akan berikan ulasan esok kerana esok akan dimuktamadkan SOP pilihan raya,” katanya pada sidang media hari ini.

Menjawab isu perbezaan maklumat pengeluar vaksin pada sijil digital vaksinasi COVID-19, Khairy berkata semakan mendapati berlaku pertindihan data antara kelompok berbeza menggunakan nombor Global Trade International Number (GTIN) sama dalam Vaccine Management System (VMS), iaitu sistem pengurusan data produk vaksin COVID-19.

Merujuk artikel yang dipaparkan oleh sebuah portal, Khairy menjelaskan bahawa maklumat pengeluar pada sijil ‘lot release’ bagi dos pertama pengadu dengan nombor kelompok ABX6083 iaitu AstraZeneca AB, Sodertalje Sweden, adalah tepat.

“Ketika ini semua produk vaksin COVID-19 jenama AstraZeneca yang diterima melalui fasiliti COVAX menggunakan kod GTIN yang sama seperti diperuntukkan kepada SK Bioscience dalam sistem VMS.

“Hal ini menyebabkan sijil digital vaksinasi pengadu memaparkan SK Bioscience sebagai pengeluar selaras dengan data yang dibekalkan oleh VMS kepada MySejahtera,” katanya.

Bagi mengatasi masalah itu, Khairy berkata KKM sedang mengemas kini maklumat bagi semua data yang terlibat dan tindakan dijangka selesai sebelum akhir bulan ini.

Jelasnya, pengemaskinian itu dijangka melibatkan hampir 100,000 data penerima vaksin AstraZeneca dan data yang dikemas kini akan diselaraskan kepada pengguna melalui aplikasi MySejahtera secara automatik.

Dalam pada itu, Khairy menegaskan bahawa tidak berlaku pencerobohan kepada pangkalan data dan maklumat di MySejahtera susulan beberapa aduan pengguna menerima e-mel dan SMS palsu daripada aplikasi berkenaan.

Beliau berkata siasatan awal oleh Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) mendapati penghantaran e-mel dan SMS palsu itu disebabkan penyalahgunaan aplikasi pengaturcaraan antara muka (API).

“Sudah pasti kita sedang menerima beberapa lagi aduan dan kita telah laksana dua kaedah untuk memperbaiki keselamatan ini dan tambahan hari ini pula kita lakukan pendaftaran secara manual bilangan individu bagi memastikan tiada kemasukan melalui pintu belakang,” katanya. – BERNAMA