Sabah Rancang Pembangunan Inklusif Di Kudat – Bung Moktar
KOTA MARUDU, 18 Okt — Kerajaan Sabah kini dalam perancangan untuk membangunkan Kudat secara inklusif termasuklah membina pelabuhan baharu di daerah itu bertujuan bagi merancakkan ekonomi setempat dan juga melonjakkan hasil pendapatan negeri.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pembinaan pelabuhan di Kudat juga dilihat berpotensi dalam usaha mewujudkan bandar baharu sesuai dengan lokasinya yang strategik.
Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya Sabah optimis perancangan itu akan dapat merangsang pembangunan setempat memandangkan banyak kawasan berhampiran Kudat seperti Pitas masih kurang kemudahan infrastruktur yang efisien.
“Kita (kerajaan Sabah) dalam perancangan untuk membina satu pelabuhan baharu di Kudat dan ini satu pembangunan inklusif. Kita akan bina satu bandar baharu, selain mewujudkan zon perdagangan khas dan ini akan dapat membantu bukan hanya ekonomi Sabah tetapi juga membangunkan kawasan persekitaran Kudat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyertai lawatan kerja Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid di Pitas dan Kota Marudu, hari ini.
Sementara itu, Bung Moktar ketika mengulas lawatan itu berkata, kerajaan negeri amat mengalu-alukan kunjungan menteri Persekutuan kerana ia penting untuk melihat keadaan sebenar setiap daerah di Sabah.
Beliau berkata kerajaan Sabah juga amat memahami masih banyak kawasan luar bandar di negeri itu memerlukan perhatian dan usaha memastikan pembangunan wilayah seimbang akan diteruskan demi kesejahteraan penduduk.— BERNAMA