Belanjawan 2022 Beri Fokus Kepada Pemulihan Ekonomi Masyarakat Luar Bandar

TUMPAT, 17 Okt – Kementerian Kewangan akan memberi fokus kepada pemulihan ekonomi terutamanya masyarakat di luar bandar menerusi Belanjawan 2022 yang akan dibentangkan pada hujung bulan ini.

Timbalan Menteri Kewangan I Mohd Shahar Abdullah berkata belanjawan itu juga akan memberi tumpuan kepada sektor-sektor yang banyak terkesan selain telah mengenal pasti beberapa inisiatif yang akan diumumkan.

“Menerusi belanjawan itu nanti kita juga akan menumpukan kepada semua spektrum, bukan sahaja kepada masyarakat, perniagaan tetapi ia juga akan melibatkan ekonomi negara.

“Untuk 2022 nanti kita akan lakukan pemulihan secara menyeluruh bukan sahaja di bandar besar, mahupun bandar kecil bahkan termasuk masyarakat golongan berpendapatan rendah (B40), M40 dan T20,” katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah pembinaan Intergrated Solar Dryer (Insoler) di Kampung Geting di sini hari ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Tumpat Datuk Che Abdullah Mat Nawi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor Wan Roslan Wan Hamat.

Mengulas lanjut, Mohd Shahar berkata belanjawan kali ini turut mencipta kelainan selepas 64 tahun negara mencapai kemerdekaan iaitu apabila rakyat didedahkan dengan pembentangan pra bajet terlebih dahulu.

“Jika sebelum ini apabila ucapan bajet baru lah kita (rakyat) tahu apakah gambaran bajet yang rakyat akan dapat. Namun kali ini, kita adakan kenyataan pra bajet, kita kemukakan dahulu kepada rakyat apa yang kita mahu lakukan, dalam semua aspek dan inisiatif dalam melibatkan cukai, hasil negara dan sebagainya.

“Kita dapati ramai rakyat Malaysia yang prihatin telah menyalurkan cadangan dan pandangan mereka dan kebanyakan mereka menyatakan sektor-sektor yang terkesan adalah luar bandar mahupun pinggir bandar,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai pembinaan Insoler berkenaan beliau berkata, projek itu merupakan kerjasama kementeriannya dengan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) untuk menyelesaikan masalah komuniti menerusi pengeringan terbuka.

Beliau berkata projek berkenaan yang dijangka siap menjelang akhir tahun ini sekali gus mampu meningkatkan ekonomi masyarakat di sekitar Geting termasuk pengusaha ikan bekok yang menjadi produk utama komuniti di kawasan itu.

“Menerusi kaedah ini, ia mampu memberikan pengeringan terbaik dengan proses yang lebih sistematik menggunakan sistem elektronik dan boleh digunakan untuk pelbagai produk pertanian dan laut. Malah, dijangka ia dapat meningkatkan produktiviti peserta yang terlibat sehingga 40 peratus,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.