Kerajaan Perlu Cari Formula Tingkat Harga Getah Sekerap Bantu Pekebun Kecil

KUALA NERANG, 16 Okt – Kerajaan perlu mencari formula atau kaedah bagi memastikan harga getah sekerap ditingkatkan supaya pekebun-pekebun kecil getah di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) dapat menikmati pendapatan yang lebih baik.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata walaupun perkara itu dilihat sukar dan mungkin mengambil masa, namun usaha perlu dilakukan agar harga getah sekerap atau harga lantainya ditingkatkan berbanding harga semasa iaitu RM2.50 sekilogram.

“Harga getah ini nak perlu ada pada kadar yang boleh bertahan untuk masyarakat luar bandar terutama pekebun kecil getah. Macam yang Risda sebutkan mahu RM3.50 sekilogram bagi harga lantai getah sekerap, memang kita tahu sukar tapi kita kena ada formula yang boleh dicari untuk tujuan ini.

“Kalau nak kata esok nak jadi, mungkin tak jadi, tapi sekurang-kurangnya keprihatinan kerajaan ada, bukan sahaja dilaung-laungkan oleh pekebun kecil tapi kerajaan sendiri kena fikir macam mana cara dan kaedah nak meningkatkan harganya,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri majlis Pekebun Kecil Makmur Risda Negeri Kedah yang turut disertai Pengerusi Risda Datuk Mohd Salim Mohd Sharif dan Ketua Pengarah Risda Abdullah Zainal.

Mahdzir berkata harga semasa getah sekerap yang rendah berbanding harga bagi hasil tanaman lain juga menyebabkan pekebun kecil getah berkeinginan untuk menukar tanaman bagi mendapatkan pendapatan yang lebih lumayan.

Beliau berkata bagi mengatasi keadaan itu Risda memperkenalkan pelbagai insentif dan skim bertujuan membantu pekebun kecil antaranya bantuan tanaman semula getah, program mengangkut benih dan baja, pemasaran serta pembinaan prasarana berkaitan.

“Risda sedar bahawa harga itu menjadi punca kepada peralihan tanaman. Cumanya saya berpendapat bahawa kita boleh bertahan lagi walaupun banyak orang menyebut tanaman lain tapi kita jangan terikut sangat dengan harga komoditi di peringkat global itu,” katanya.

Sementara itu, Mohd Salim berkata Risda mahu harga lantai getah sekerap ditingkatkan kepada RM3.50 sekilogram bagi memastikan tanaman getah terus diusahakan terutama oleh golongan muda dan pengeluaran getah negara terus meningkat pada masa akan datang.

“Kos untuk menanam semula getah telah meningkat tapi hasil masih dijual pada harga lama, ini yang kita bimbang. Sekarang ini, kita di tangga keenam dunia pengeluaran getah, kita bimbang kita jatuh lagi bila banyak pekebun kecil getah beralih ke tanaman lain,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.