Peruntukan Untuk Kesihatan Perlu Dilihat Sebagai Pelaburan Bukan Perbelanjaan – Khairy

KUALA LUMPUR, 15 Okt – Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin hari ini mencadangkan agar peruntukan untuk kesihatan perlu dilihat sebagai satu pelaburan dan bukannya perbelanjaan, terutamanya dalam pencegahan dan rawatan untuk kanser.

Beliau berkata sejak sekian lama, kerajaan telah memberikan subsidi hampir sepenuhnya terhadap ubat-ubatan paling berkesan, bagi memastikan rawatan terbaik untuk pesakit kanser.

Beliau berkata rawatan baharu juga boleh didapati oleh pesakit menerusi model pembiayaan inovatif, skim akses pesakit dan ujian klinikal yang ditaja oleh pihak industri.

“Mereka yang lebih sihat dan pulih dari kanser boleh bekerja semula untuk membina semula kehidupan mereka, ekonomi dan negara,” katanya dalam rakaman ucaptama beliau pada persidangan secara maya mengenai ‘Meningkatkan Akses kepada Rawatan dan Penjagaan Kanser’ di sini hari ini.

Khairy berkata, pelaburan dan intervensi berkesan dalam pencegahan kanser, diagnosis yang tepat pada masanya, kemajuan dalam terapi dan model penyampaian rawatan yang telah mengurangkan jumlah kematian akibat kanser, meningkatkan jumlah mereka yang pulih dan kualiti kehidupan mereka yang hidup dengan kanser, perlu pertimbangan yang serius.

Khairy turut mendedahkan kira-kira 49,000 rakyat Malaysia telah dianggarkan untuk didiagnosis menghidap kanser pada 2020 dan dijangka akan meningkat lebih kepada 66,000 kes baharu setiap tahun pada 2030.

Beliau menjelaskan kanser kolorektum merupakan kanser kedua paling banyak di kesan pada rakyat Malaysia dan 65 peratus daripadanya didiagnosis lewat, yang menyebabkan Kementerian Kesihatan (KKM) telah memperkenalkan ujian darah ‘immunichemical faecal occult’ sebagai sebahagian daripada ujian saringan kanser kolorektum, yang disasarkan kepada mereka yang berusia antara 50 hingga 75 tahun.

“Kami telah mengambil beberapa langkah untuk menggalakkan pengesanan awal menerusi kit ujian kendiri untuk ‘human papilloma virus’ (HPV) kerana ia juga berpotensi untuk wanita dalam mengatasi masalah menjalani saringan, mengesan kanser servikal pada peringkat awal, dan membawa pesakit untuk rawatan seawal mungkin,” katanya.

Beliau menjelaskan, menggunakan rawatan tradisional atau rawatan alternatif sebaik didiagnosis dan tidak terus menggunakan perubatan ‘allopathic’ telah menyebabkan kelewatan kepada rawatan yang amat ketara.

Mengikut Laporan Pendaftaran Kanser Nasional Malaysia 2012-2016, kanser payudara merupakan kanser utama dalam kalangan rakyat Malaysia.

Persidangan secara maya yang dianjurkan ‘Galen Centre for Health and Social Policy’, Kumpulan Kerja Rawatan Kanser dan ‘M3C Taskforce’ bersama pihak berkepentingan daripada pelbagai sektor bagi membincangkan kemajuan, jurang dan peluang dalam membantu rawatan kanser di Malaysia.

Pada acara itu juga telah dilancarkan ‘Kertas Putih mengenai Cabaran Rawatan Kanser, Jurang dan Peluang di Malaysia’, yang menggariskan tiga bidang utama untuk tindakan dalam mengurangkan impak kanser terhadap rakyat Malaysia dan lima cadangan pembaharuan kepada dasar untuk penyakit kanser. – BERNAMA