Program Urus Beri Pengecualian Faedah Selama 3 Bulan, Pengurangan Bayaran Ansuran Bagi B50 – PM

KUALA LUMPUR, 13 Okt – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan Program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (URUS) kepada peminjam yang berada dalam kumpulan 50 peratus terbawah (B50) yang akan dilaksanakan oleh sektor perbankan dalam masa terdekat.

Beliau berkata kemudahan yang ditawarkan ialah pengecualian faedah untuk tiga bulan, pengurangan bayaran ansuran untuk tempoh sehingga 24 bulan, termasuk pengurangan kadar faedah.

“Dalam tempoh ini, pelanggan dengan pinjaman/pembiayaan dan kad kredit peribadi tanpa jaminan juga boleh mendapat manfaat daripada kadar faedah yang dikurangkan bagi membantu meringankan beban kewangan mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya URUS merupakan program sokongan bantuan bayaran balik pinjaman yang komprehensif dan akan ditawarkan kepada pelanggan B50 yang terjejas, yang turut merangkumi peminjam yang berada dalam kategori isi rumah B40, iaitu mereka yang berpendapatan kasar kurang daripada RM5,880 sebulan.

Beliau berkata program URUS ini telah dirangka oleh sektor perbankan bersama-sama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) serta Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

“Butiran selanjutnya mengenai program URUS akan diperincikan oleh Kementerian Kewangan,” katanya.

Beliau berkata inisiatif oleh sektor perbankan jelas mencerminkan semangat Keluarga Malaysia dan melengkapkan usaha kerajaan untuk membantu golongan peminjam B50 yang sebelum ini telah pun mendapat manfaat daripada program moratorium yang diumumkan di bawah pakej bantuan dan rangsangan kerajaan sejak Mac 2020.

Katanya kerajaan berharap dengan pendekatan ‘whole-of-nation’ dan penyatuan usaha seluruh rakyat Malaysia, matlamat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang makmur, inklusif dan mampan mampu direalisasikan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.