OSHMP25 Pacu Pembentukan Budaya Kerja Selamat Dan Sihat

PUTRAJAYA, 13 Okt – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini melancarkan Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2021-2025 (OSHMP25) yang menggariskan pelbagai teras strategik bagi memacu pembentukan “Budaya Kerja Selamat dan Sihat” dan meningkatkan Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia.

Beliau berkata pelan induk jangka sederhana selama lima tahun itu akan meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan di tempat kerja dengan mengurangkan kadar kemalangan, kematian dan jangkitan penyakit, yang sekali gus membantu usaha kerajaan meningkatkan tahap kesejahteraan rakyat.

“Pelan ini dirangka setelah mengambil kira senario pekerjaan kini yang telah berubah. Hari ini, ruang rumah setiap ahli Keluarga Malaysia sudah menjadi ruang pekerjaan. Begitu juga di kafe, gerai dan restoran.

Mengamalkan budaya kerja selamat ini amat mustahak untuk dipatuhi oleh kita semua,” katanya dalam ucapan sempena pelancaran OSHMP25 yang berlangsung secara maya hari ini.

Ismail Sabri berkata pelan induk itu menggariskan tujuh strategi utama iaitu melibatkan pemerkasaan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) di sektor awam; pengukuhan amalan peraturan kendiri di tempat kerja; penggalakan pendidikan dan penyelidikan KKP serta pemerkasaan kesihatan pekerjaan.

Strategi turut meliputi peningkatan pematuhan KKP di sektor perusahaan kecil dan sederhana; pemantapan KKP melalui teknologi; serta peningkatan KKP berkaitan jalan raya, sektor informal dan pekerjaan masa depan, katanya.

Beliau berkata komitmen semua pihak termasuk kerajaan, majikan dan pekerja adalah sangat diharapkan bagi memastikan misi memartabatkan KKP di negara ini terlaksana dengan jayanya selaras dengan tema “OSHMP25: KKP Inklusif-Kebersamaan dan Komitmen”.

“Kesan langsung akibat pengabaian KKP ini, negara boleh mengalami kerugian sebanyak empat peratus daripada perolehan Keluaran Dalam Negara Kasar setahun. Namun, apa yang lebih diutamakan kerajaan ialah untuk mengelakkan kehilangan nyawa ahli Keluarga Malaysia,” katanya.

Ismail Sabri berkata pandemik COVID-19 yang melanda negara bukan sahaja mengancam kesihatan awam, malah memberi kesan terhadap aspek ekonomi dan sosial.

“Melangkah ke hadapan, kita perlu mengharungi persekitaran global yang dijangka semakin kompetitif akibat pandemik ini. Ia menuntut peralihan secara drastik kepada norma baharu pekerjaan, seperti bekerja dari rumah dengan peningkatan aktiviti dalam talian,” katanya.

Namun begitu, katanya bekerja dari rumah turut mendedahkan pekerja kepada risiko keselamatan dan kesihatan seperti masalah berkaitan ergonomik antaranya berkaitan dengan postur badan ketika menggunakan komputer atau gajet, dan terdedah kepada masalah psikososial terutamanya tekanan mental dan kelemahan interaksi sosial akibat terlalu lama terkurung di rumah.

Sementara itu Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Awang Hashim berkata OSHMP25 merupakan kesinambungan Pelan Induk KKP 2011-2015 (OSHMP15) dan Pelan Induk KKP 2016-2020 (OSHMP2020).

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP) berkata antara pencapaian OSHMP2020 ialah penurunan kadar kemalangan iaitu sebanyak 2.18 bagi setiap 1,000 pekerja.

Kadar kematian pekerjaan pula berkurang sebanyak 45 peratus iaitu 2.09 setiap 100,000 pekerja pada tahun lepas berbanding 3.83 pada tahun sebelumnya, katanya.
Menurutnya, sebanyak 32,674 kes kemalangan pekerjaan telah direkodkan dalam negara pada tahun lepas, dengan 312 daripadanya merupakan kes maut.

“Antara objektif utama OSHMP25 adalah mengurangkan kadar kemalangan dalam negara di tempat kerja. Dengan komitmen yang sepenuhnya serta usaha yang digembleng antara pihak majikan, kerajaan dan pekerja, pelan induk ini akan mencapai objektifnya,” kata Awang. – BERNAMA