RMK12: PM Sebak Sentuh Isu Kemiskinan Tegar Di Dewan Negara

KUALA LUMPUR, 12 Okt – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menghentikan sebentar ucapan pembentangan usul Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Dewan Negara hari ini selain kelihatan sebak ketika menyentuh isu kemiskinan tegar.

Mengimbau sejarah dilahirkan dan dibesarkan dalam keluarga penoreh getah, Ismail Sabri yang selalunya kelihatan tenang di Parlimen, kelihatan bersedih dan menghentikan ucapannya untuk menenangkan diri sebelum kembali menyambung pembentangan

“Isu kemiskinan sangat dekat di hati saya. Dilahir dan membesar daripada keluarga penoreh getah, saya sangat memahami kesusahan dan kepayahan hidup rakyat,” katanya ketika berucap mengenai fokus kelima RMK12 iaitu Membasmi Kemiskinan Tegar dan Merapatkan Jurang Pendapatan.

Perdana Menteri berkata kerajaan komited untuk menjayakan fokus tersebut dan akan menggunakan pendekatan keseluruhan negara dalam menangani isu kemiskinan termasuk menubuhkan Unit Kemiskinan di bawah Unit Perancang Ekonomi.

“Pandemik COVID-19 yang melanda telah meningkatkan kadar kemiskinan, menjejaskan pendapatan individu dan isi rumah, seterusnya menghimpit keluarga kita dalam kemiskinan,” katanya.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada semua pihak, termasuk badan korporat, orang perseorangan dan majlis agama Islam negeri yang sentiasa prihatin dan menyokong kerajaan dalam membantu masyarakat yang terkesan sepanjang pandemik itu. – BERNAMA