Transformasi Pendidikan Pahang 2021-2030 Lahir Murid Cemerlang Akademik, Sahsiah Diri

KUANTAN, 11 Okt – Matlamat utama pelaksanaan Transformasi Pendidikan Pahang (TPP) 2021-2030 adalah untuk melahirkan generasi masa depan serba lengkap, berdaya saing dan berkebolehan menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata TPP yang menggariskan 10 inisiatif bukan hanya menitikberatkan aspek pembelajaran dan teknologi, tetapi juga menekankan adab murid bagi melahirkan generasi muda cemerlang.

“Selain menetapkan pencapaian minimum murid, TPP juga memfokus kepada pembelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) supaya murid bersedia mendepani revolusi industri (IR) 4.0 dan IR5.0 serta berdaya saing bagi meningkatkan kebolehpasaran mereka.

“TPP juga bersifat menyeluruh supaya semua murid di Pahang tanpa mengira latar belakang tidak ketinggalan dalam aspek pembelajaran,” katanya pada sidang media selepas melancarkan TPP 2021-2030 di Jabatan Pendidikan Pahang di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Pendidikan negeri Mohammad Rosli Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Pahang Datuk Mahmud Mohd Nawawi.

Wan Rosdy berkata selain pendidikan TPP 2021-2030 juga bermatlamat melahirkan murid berkeperibadian baik, antaranya menghayati perpaduan, versatil, memiliki pelbagai kemahiran termasuk bahasa, bersifat keusahawanan, celik al-Quran dan mengekalkan warisan budaya Pahang.

Beliau berkata pelan transformasi itu juga bertujuan memperkasa pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET), memperkasa pengurusan asrama dan meningkatkan persekitaran mesra orang kurang upaya (OKU) di sekolah.

Transformasi guru juga disentuh seperti memperkasakan ketrampilan guru, membudayakan kajian tindakan, membudayakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) digital serta komuniti pembelajaran profesional (PLC), berintegriti, penyayang dan menjadi suri teladan.

“Kita akan memantau perjalanan TPP 2021-2030 supaya berhasil melahirkan anak masa depan berkualiti secara holistik merangkumi akademik dan peribadi,” katanya.

Di Pahang setakat ini terdapat 741 sekolah dengan 543 daripadanya ialah sekolah rendah, 25,476 guru dan 256,473 murid. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.