Rentas Negeri: PM Ingatkan Keluarga Malaysia Terus Amalkan Norma Baharu, Patuh SOP

KUALA LUMPUR, 10 Okt – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan semua rakyat Keluarga Malaysia supaya terus mengamalkan norma baharu dalam setiap langkah dan perjalanan mereka.

Menerusi catatan di laman Facebook rasminya malam ini, beliau berkata ini kerana pandemik COVID-19 masih berada di sekitar kita.

“Ramai yang nak balik kampung berjumpa ibu bapa dan keluarga. Di radio tempatan juga ada yang mendendangkan lagu ‘Balik Kampung’ tanda kegembiraan warga Keluarga Malaysia untuk pulang ke kampung halaman.

“Bagi mereka yang lengkap dua dos vaksin, dibenarkan merentas negeri namun sentiasalah menjaga prosedur operasi standard (SOP) dan keselamatan diri, keluarga dan masyarakat kita,” katanya.

Perdana Menteri dalam sidang media khas hari ini berkata kerajaan bersetuju membenarkan individu yang sudah lengkap vaksinasi COVID-19 melakukan pergerakan rentas negeri tanpa perlu mendapatkan kebenaran polis bermula esok.

Beliau berkata keputusan itu dibuat berikutan kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) telah mencapai 90 peratus. – BERNAMA