Dewan Negara Lulus Usul Junjung Kasih Titah Agong

KUALA LUMPUR, 11 Okt – Dewan Negara hari ini meluluskan Usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong ketika merasmikan pembukaan Penggal Keempat Parlimen ke-14 pada 13 Sept lepas.

Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim berkata usul itu disetujukan selepas menyaksikan lebih suara bersetuju berbanding tidak bersetuju setelah ia dibahaskan selama tiga hari mulai 4 Okt oleh 37 Senator dan disusuli penggulungan 27 kementerian terlibat selama dua hari.

Antara isu yang dibangkitkan pada sesi perbahasan adalah mengenai kit ujian kendiri COVID-19, reformasi sistem perkhidmatan kesihatan, sistem telekomunikasi, pembelaan pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) dalam pendidikan serta isu anak-anak kehilangan ibu bapa akibat pandemik.

Persidangan hari ini menyaksikan 16 kementerian menggulung perbahasan termasuk lima jabatan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Mengikut takwim Dewan Negara, persidangan esok akan diteruskan dengan pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) pada pukul 11.30 pagi dan disusuli sesi perbahasan.

Persidangan Dewan Negara bersambung esok. – BERNAMA