83 Peratus Penuntut Ipt Lengkap Vaksinasi COVID-19 – Noraini

KUALA LUMPUR, 11 Okt – Sejumlah 83 peratus atau 951,739 penuntut institut pengajian tinggi (IPT) sudah menerima dua dos lengkap vaksin COVID-19 setakat 1 Okt, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Beliau berkata bagi kakitangan IPT pula, seramai 117,721 individu atau 90 peratus telah menerima dua dos lengkap vaksin.
Noraini Ahmad
“Secara keseluruhan, kita ada 1.15 juta pelajar. Apabila pelajar mula memasuki kampus secara berperingkat 15 Okt ini, mereka akan disaring dengan kit ujian kendiri untuk memantau dan mengekang penularan wabak walaupun sudah menerima dos lengkap. Saringan akan dibuat secara berkala.

“Sekiranya ada pelajar dijangkiti atau menjadi kontak rapat, kita akan tempatkan mereka di pusat pengasingan atau kuarantin yang disiapkan oleh setiap IPT berkenaan. Operasi IPT tak ditutup, sebaliknya aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) pelajar itu ditangguhkan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata sekiranya sesebuah IPT itu mencatatkan jumlah kes yang serius, penutupan IPT itu akan dipertimbangkan dan ia tertakluk kepada nasihat Kementerian Kesihatan (KKM).

Noraini berkata demikian bagi menjawab soalan Akmal Nasrullah Mohd Nasir (PH-Johor Bahru) mengenai perkembangan program vaksinasi pelajar IPT dan strategi pembukaan semula institusi pengajian tinggi.

Pada 14 Sept, Noraini berkata kemasukan penuntut IPT secara fizikal ke kampus akan dilaksanakan secara berperingkat bermula 15 Okt ini, melibatkan penuntut yang lengkap vaksinasi COVID-19.

Ia merangkumi semua kategori penuntut dan semua fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan keutamaan diberikan kepada penuntut berkeperluan.

Melalui proses kemasukan berpandukan prosedur operasi standard (SOP) Sektor Pendidikan Tinggi: Pengoperasian IPT, Noraini berkata selain penuntut, hanya staf yang lengkap vaksinasi COVID-19 serta melepasi tempoh keberkesanan vaksin dibenarkan untuk berada di kampus. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.