UMNO Bersama Rakyat, Komited Bantu Terkesan COVID-19 – Ahmad Said

BESUT, 9 Okt – UMNO merealisasikan hasrat terus bersama rakyat sebagaimana UMNO Terengganu sedaya upaya membantu masyarakat yang terjejas kesan daripada penularan pandemik COVID-19 termasuk yang melibatkan sektor pelancongan, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri (BPUN) Datuk Seri Ahmad Said.

Jelas beliau, meskipun UMNO tidak mentadbir kerajaan negeri namun usaha berterusan dalam memberikan bantuan tetap dilaksanakan.

“Kita percaya bahawa rakyat sedar permasalahan yang berlaku pada UMNO kerana kita bukan kerajaan pada hari ini namun kita meneruskan bantuan dan baru-baru ini kita bertemu dengan pemandu teksi dan kereta sewa di Kuala Terengganu, Kemaman dan lapangan terbang.

“Kita juga beri bantuan termasuk kepada bot-bot penambang dan sekarang kita beralih kepada pemandu-pemandu pelancong termasuk juga pemandu bot-bot pelancong di Setiu ini.

“Insya-Allah bantuan di Besut hari ini seterusnya Setiu dan Tasik Kenyir di mana kita membantu sedikit sebanyak bagi meringankan beban penggerak-penggerak pelancongan ini. UMNO telah membantu rakyat dengan seadanya kita juga mengagihkan bekalan makanan dari masa ke semasa berasaskan kemampuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis bersama Ketua Penerangan UMNO Malaysia Shahril Hamdan yang turut disertai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Terengganu Tengku Haphiz Tengku Putera dan Ketua UMNO Bahagian Besut Nawi Mohamad di Hotel Temu Primula Besut.

Sementara itu, UMNO negeri juga turut komited membantu dalam pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

“Kita meminta rakyat untuk pergi ke tempat yang disediakan vaksin ini. Kita juga turut melibatkan Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda serta Puteri dan Skuad Sabil yang bertugas secara sukarela di pusat vaksinasi ini di semua bahagian,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.