Surat Nasihat Bubar DUN Melaka Dihantar Ketika Masih Ketua Menteri – Sulaiman

MELAKA, 8 Okt – Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata surat nasihat bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang dihantar kepada Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam dilakukan ketika beliau masih memegang jawatan Ketua Menteri.

Beliau berkata dakwaan sesetengah pihak bahawa surat nasihat pembubaran DUN tidak mengikut lunas undang-undang adalah tidak benar memandangkan ia dibuat mengikut peraturan yang sewajarnya.

“Apa yang saya ingin maklum bahawa surat saya kepada Tun (Mohd Ali) adalah ketika saya masih lagi CM (Ketua Menteri) of The Day. Jadi saya serah kepada Tun (Mohd Ali) dan terpulanglah kepada kuasa Tun (Mohd Ali)… itu sahaja.

“Semuanya mengikut peraturan dan perundangan, jadi kalau tak puas hati pergilah kepada pihak yang berkenaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada pengurusan Masjid Nurul Hidayah di Batu Berendam di sini hari ini.

Sementara itu Sulaiman berkata beliau terpaksa menangguhkan pembentangan mengenai Belanjawan Melaka 2022 daripada Bahagian Kewangan Kerajaan Negeri Melaka minggu depan berikutan kemelut politik yang melanda ketika ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran DUN Melaka daripada speaker Datuk Seri Ab Rauf Yusoh Isnin lepas setelah kerajaan negeri yang dipimpin UMNO hilang majoriti, dan berdasarkan Fasal (4) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka, pilihan raya hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pembubaran DUN itu. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.