Keluarga Malaysia Tekad Baharu Bebaskan Negara Daripada COVID-19, Pulihkan Ekonomi – Annuar

KUALA LUMPUR, 8 Okt – Prapelancaran Keluarga Malaysia menandakan tekad baharu untuk membebaskan negara daripada belenggu COVID-19 serta memulihkan ekonomi Malaysia di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Menerusi ucapan alu-aluannya dalam majlis prapelancaran Keluarga Malaysia yang disiarkan secara langsung menerusi siaran televisyen petang ini, beliau berkata tiga teras utama (Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran) yang digariskan di bawah konsep Keluarga Malaysia itu membentuk kekuatan bagi sesebuah negara bangsa.

“Setiap ahli keluarga haruslah saling menyayangi, melindungi dan tiada siapa pun harus dipinggirkan. Begitulah juga Keluarga Malaysia yang mendukung prinsip-prinsip yang mewujudkan masyarakat makmur bersama berasaskan teras Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran.

Ini menandakan satu permulaan tekad baharu kita secara bersama untuk membebaskan negara dari segala belenggu terutamanya COVID-19 dan pulihkan ekonomi negara di bawah pimpinan Perdana Menteri. Semoga kita semua turut menggemblengkan penghayatan dan pelaksanaan konsep Keluarga Malaysia, katanya.

Annuar berkata konsep itu membawa maksud besar dalam aspek kehidupan rakyat dan menampilkan nilai kebersamaan iaitu saling menghormati serta memahami antara satu sama lain.

Konsep Keluarga Malaysia menggariskan tiga teras utama dan 20 pengkayaan nilai yang mendasari kerajaan baharu pimpinan Ismail Sabri untuk bekerja secara bersama-sama dalam memulihkan negara daripada masalah dan kesan pandemik COVID-19.

Bagi pengkayaan nilai-nilai di bawah tiga teras berkenaan termasuk menyemai budaya integriti dalam keluarga, menjadikan budaya amanah sebagai budaya keluarga, menjadikan prinsip keadilan sebagai teras pengukuhan keluarga dan menjadikan amalan bermusyawarah sebagai amalan keluarga.

Secara amnya, mesej keseluruhan konsep ini ialah Keluarga Malaysia dapat menerima persamaan dan perbezaan berdasarkan nilal-nilai dan ciri-ciri Keluarga Malaysia berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

Perdana Menteri hari ini merasmikan Majlis Prapelancaran Keluarga Malaysia di Auditorium Perdana Angkasapuri, Radio Televisyen Malaysia (RTM). – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.