Rakyat Pahang Diingat Jangan Alpa Apabila Berada Di Fasa Empat – Wan Rosdy

BENTONG, 7 Okt – Rakyat Pahang diingatkan agar tidak alpa, sebaliknya terus menjaga prosedur operasi standard (SOP) walaupun negeri ini akan memasuki Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) esok, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata kegagalan mematuhi SOP seperti memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal serta mengelak berada di kawasan sesak, dikhuatiri berisiko meningkatkan semula kes baharu COVID-19.

“Lebih banyak kelonggaran diberikan apabila kita berada di Fasa Empat PPN termasuk pembukaan semula beberapa sektor perniagaan yang memberi manfaat kepada lebih ramai penduduk Pahang, selain aktiviti riadah dan perhimpunan.

“Namun, kita perlu sentiasa beringat kerana COVID-19 tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Kita tidak tahu siapa yang dijangkiti dan sudah tentu kita tidak mahu berlaku peningkatan kes daripada kelonggaran diberikan,” katanya semasa ditemui pada Majlis Penyerahan Central Spine Road (CSR) Pakej 5 Raub ke Bentong oleh Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof di Bulatan Mempaga, di sini hari ini.

Penyerahan itu melibatkan dua seksyen jalan tersebut iaitu Seksyen 5C dari Kampung Asap ke Kampung Sertik sejauh 5.78 kilometer (km) dan Seksyen 5D iaitu Pintasan Bentong sejauh 22.72 km yang keseluruhan bernilai RM631.98 juta.

Sementara itu, Wan Rosdy juga mengharapkan penduduk Pahang terus memberi kerjasama kepada usaha pihak terlibat khususnya Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan jumlah kes positif COVID-19 terus berkurangan.

Semalam, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengumumkan Pahang yang kini berada di Fasa Tiga PPN, beralih ke fasa terakhir pelan itu esok, berdasarkan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19.

Beliau berkata peralihan fasa itu dibuat mengikut garis panduan yang ditetapkan PPN dan mengambil kira penilaian risiko semasa oleh KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN). – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.