Lebuhraya CSR Siap Sepenuhnya 2026

BENTONG, 7 Okt – Pembinaan Lebuhraya Central Spine Road (CSR) dari Kuala Krai, Kelantan ke persimpangan Lebuhraya Pantai Timur fasa 1 (LPT1) di sini, dijadual siap sepenuhnya pada 2026, kata Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Projek CSR sejauh 306.8 kilometer (km) dengan kos keseluruhan RM7.3 bilion itu melibatkan enam pakej dengan empat daripadanya iaitu lebih 200 km terletak di dalam Pahang bermula dari Kampung Relong di Kuala Lipis.

“Ada beberapa kelewatan sedikit disebabkan pandemik COVID-19 dan isu utiliti di beberapa kawasan, namun kita sudah mendapat semula momentum untuk kembali merancakkan pembinaannya supaya dapat disiapkan mengikut rancangan,” katanya.

Fadillah berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Jalan CSR Pakej 5 Raub ke Bentong di Bulatan Mempaga di sini, kepada kerajaan Pahang yang diwakili Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Pakej 5 yang terlibat hari ini ialah Seksyen 5C dari Kampung Asap ke Kampung Sertik sepanjang 5.78 km yang bermula pada 5 Nov 2015 dan siap pada 30 Okt 2018 serta Seksyen 5D iaitu Bentong Bypass sejauh 22.72 km yang siap pada 20 April 2021 selepas pembinaannya bermula pada 18 April 2016.

Kedua-dua seksyen itu melibatkan kos sebanyak RM631.98 juta dan antara pembinaan terlibat ialah pembinaan jalan baharu empat lorong dua hala, membina ‘overpass’ (laluan atas) di Kampung Lebu, sembilan jambatan, bulatan di Mempaga dan dua persimpangan bertingkat di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Kampung Benus.

Ditanya jika kos keseluruhan projek CSR meningkat disebabkan pandemik COVID-19, Fadillah berkata setakat ini, kos pembinaan masih berada dalam perancangan asal.

“Kedua-dua seksyen terlibat boleh digunakan mulai hari ini, dengan Bentong Bypass dapat mengurangkan kesesakan di jalan Persekutuan sedia ada di bandar Bentong selain meningkatkan kebolehcapaian serta menjana ekonomi di kawasan Pahang Barat termasuk sektor pelancongan dan industri kecil dan sederhana,” katanya.

Berhubung rancangan asal CSR yang menuju ke Simpang Pelangai, Bentong bagi memudahkan perjalanan ke selatan tanah air melalui Negeri Sembilan tanpa memasuki Kuala Lumpur, Fadillah berkata ia akan diteruskan secara berperingkat bergantung kepada kelulusan peruntukan.

“Peruntukan bagi pelaksanaannya (ke Simpang Pelangai) tidak termasuk dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) namun ia termasuk dalam Pelan Pembangunan Rangkaian Jalan Raya 2030 dan mungkin diterima pada Rancangan Malaysia seterusnya,” katanya.

Pada perkembangan lain, Fadillah berkata kementerian juga meluluskan peruntukan membaiki kerosakan jalan raya ke Cameron Highlands melalui Sungai Koyan, Lipis dengan perinciannya akan dibincangkan bersama Setiausaha Kerajaan Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata pembinaan lebuh raya itu selain membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi, juga membantu mengurangkan kesesakan jalan raya khususnya di bandar Bentong pada musim perayaan dan cuti sekolah ekoran pertambahan kenderaan menuju ke Kelantan.

“Pembinaan jalan ini juga membantu memudahkan penduduk sekitar kerana Bentong Bypass memendekkan perjalanan dari Kampung Mempaga ke pekan Bentong kepada 12 kilometer atau 20 minit sahaja berbanding laluan sebelum ini 30 kilometer yang boleh mengambil masa 45 minit,” katanya. – BERNAMA

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.