KKMM Tidak Bercadang Syor Cukai Baharu Bidang E-Dagang – Annuar

KUALA LUMPUR, 7 Okt – Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) tidak bercadang untuk mengesyorkan sebarang bentuk cukai baharu bagi bidang e-dagang, Dewan Negara diberitahu hari ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata kementerian itu mahu memberikan galakan kepada orang ramai menyertai bidang e-dagang.

“Dasar percukaian di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan dan biasanya apa-apa dasar berkaitan percukaian akan diumumkan pada sesi belanjawan setiap tahun.

“Namun begitu, setakat ini tiada sebarang bentuk cukai baharu yang disyorkan kementerian (KKMM) malah kita ingin berikan galakan kepada penyertaan bidang e-dagang ini. Jadi, tiada sebarang bentuk cukai baharu yang ingin dicadangkan kementerian,” katanya pada sesi soal jawab.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator N. Balasubramaniam sekiranya kerajaan bercadang mengenakan cukai kepada mereka yang berniaga secara dalam talian.

Sementara itu, Annuar berkata langkah utama kerajaan ketika ini adalah memastikan kesalinghubungan dapat mencapai 100 peratus untuk rakyat, selain menjaga kualiti kesalinghubungan itu.

“Banyak tempat ada kemudahan jalur lebar tetapi kualiti rendah, maka program kerajaan sekarang ditumpukan kepada ‘roll out’ program JENDELA (Jalinan Digital Negara) bagi memastikan 98 peratus daripada kawasan berpenduduk mendapat liputan 4G dan kita berpindah daripada bekalan 3G.

“Ini program-program yang sedang berjalan dan juga Point of Presence (PoP)…sekolah-sekolah yang mendapat bekalan secara tidak stabil, sekarang ada program fiberization untuk 4,000 sekolah terpilih,” katanya.

Beliau berkata terdapat juga program lain yang telah dijalankan bagi membolehkan usaha berkenaan diperluas ke kawasan desa dan luar bandar, antaranya kempen e-dagang untuk perusahaan kecil dan sederhana serta mikro (PKSM) yang dilaporkan memberi manfaat kepada 204,262 pesertanya.

Selain itu, Annuar berkata Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) ditugaskan untuk menggerakkan program penggalakan terhadap penguasaan sistem pembayaran teknologi kewangan (Fintech), e-dagang termasuk aplikasi lain melalui program berterusan dan tersusun selain menambah jumlah pusat digital ekonomi di seluruh negara.

“Usaha-usaha ini terus dipertingkatkan bagi memastikan anak-anak muda kita menguasai bidang-bidang ini (ekonomi e-dagang),” katanya.

Beliau menjawab soalan asal Balasubramaniam yang ingin tahu usaha kerajaan membentuk ruang ekonomi yang luas dengan melibatkan kerjasama anak muda dalam ekonomi e-dagang secara maya dan digital melalui Fintech secara dalam talian. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.