Kerajaan Tidak Buka Pintu Sempadan Negara Sewenang-Wenangnya – PM Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 7 Okt – Kerajaan tidak akan membuka pintu sempadan negara sewenang-wenangnya, sebaliknya kebenaran kemasukan pengembara bukan warganegara bergantung kepada maklumat situasi COVID-19 dari negara asal mereka, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata buat masa ini kerajaan meletakkan syarat mereka yang lengkap vaksinasi dibenarkan masuk ke negara ini, namun sempadan belum dibuka kepada pelancong.

“Kalau kita lihat dari segi sejarahnya walaupun kita buka pintu negara kita kepada warganegara asing untuk masuk tetapi perkembangan di negara asal pengembara itu juga diambil kira.

“Setiap tindakan kerajaan kita dapat pandangan dan cadangan Kementerian Kesihatan (KKM) yang buat penilaian risiko, kita tidak buka (sempadan) sewenang-wenangnya,” katanya pada sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini.

Ismail Sabri menjawab soalan tambahan Senator Datuk Razali Idris sama ada kerajaan mempunyai pelan krisis pengurusan COVID-19 nasional sekiranya pintu sempadan dibuka, akan berlaku lonjakan kes dan penularan varian baharu seperti yang berlaku di negara lain.

Perdana Menteri berkata enam perkara yang dijadikan panduan sebelum warganegara asing dibenarkan masuk ke negara ini ialah jumlah kes COVID-19 dalam tempoh 14 hari kebelakangan di negara itu, kadar insiden per satu juta penduduk, kadar kematian per satu juta penduduk, kadar kematian, indeks pemulihan dan kes kumulatif COVID-19 di negara berkenaan.

“Jadi, kalau ada yang kita dapati kes meningkat di negara mereka mungkin kita akan mengubah dasar kita daripada membenarkan kepada tidak membenarkan, kita fleksibel dari segi itu,” katanya.

Ismail Sabri berkata bagaimanapun, kebenaran masuk itu adalah tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) dan syarat-syarat yang ditetapkan termasuk keperluan menjalani kuarantin wajib di pusat-pusat kuarantin yang disediakan.

Beliau berkata kerajaan sentiasa menambah baik SOP berkaitan perkara itu dan bermula pada 12 Ogos lepas, pengembara warganegara dan bukan warganegara yang telah menerima imunisasi lengkap boleh membuat permohonan untuk menjalani kuarantin wajib di rumah atau tempat kediaman.

“Persediaan melalui garis panduan terperinci serta penilaian risiko oleh KKM akan dijalankan terhadap setiap pengembara berdasarkan kepada permohonan untuk kuarantin di rumah atau tempat kediaman.

“Secara keseluruhannya, kerajaan telah melakukan pelbagai persediaan serta kelonggaran yang diberikan dibuat secara berhati-hati dengan mengambil kira perkembangan di seluruh dunia dan juga keutamaan untuk pemulihan ekonomi,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Senator Muhammad Zahid Md Arip mengenai tindakan negara tertentu yang hanya membenarkan penerima vaksin tertentu masuk ke negara itu, Ismail Sabri berkata kerajaan akan mengadakan perbincangan dan rundingan dengan negara berkaitan bagi membolehkan rakyat Malaysia masuk ke negara berkenaan.

“Polisi setiap negara itu kita tidak boleh kawal kerana itu hak negara mereka. Yang pentingnya rundingan terus dijalankan untuk memudahkan rakyat negara kita yang tidak mendapat vaksin yang dibenarkan di negara itu, dapat masuk ke negara tersebut dengan kelonggaran diberikan kepada rakyat negara kita,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.