Hubungi Saya Jika Jumpa Jalan Berlubang – Shahidan

KUALA LUMPUR, 7 Okt – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengambil tindakan segera dalam masa 24 jam terhadap aduan, rungutan dan makluman mengenai kerosakan jalan raya di ibu negara.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata beliau telah berbincang dengan DBKL dan mengarahkan agar DBKL mengambil tindakan segera terhadap aduan sedemikian.

“Boleh hubungi menteri (019-4545111), timbalan menteri (019-6524444) atau Datuk Bandar (016-2068883). Bersiap siaga 24 jam. Yang baru datang Kuala Lumpur terjumpa jalan lopak hubungi (nombor yang diberikan). Kita akan ambil tindakan 24 jam,” katanya ketika menggulung Rancangan Malaysia Ke-12 bagi kementerian itu di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Tindakan beliau memberikan nombor telefon itu disambut dengan gelak ketawa oleh Ahli Parlimen sebelum persidangan ditangguhkan untuk rehat tengah hari.

Menurut Shahidan DBKL sentiasa memantau keadaan jalan raya di Kuala Lumpur terutamanya berdekatan projek pembangunan, kawasan jalan utama serta kawasan tumpuan utama untuk memastikan keadaan jalan raya diturap dan dibaiki.

Dalam penggulungannya Shahidan turut menyatakan komitmen melaksanakan dasar dan pembangunan sebaik mungkin, termasuk menarik pelaburan untuk menjadikan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan lebih maju dengan kerjasama semua pihak.

Beliau turut mengumumkan satu daripada projek perumahan mampu milik di bawah kementerian iaitu Residensi Prihatin yang berharga sehingga RM200,000 seunit dengan keluasan 750 kaki persegi khusus untuk golongan B40 dijenamakan semula sebagai Residensi Keluarga Malaysia.

“Kementerian Wilayah Persekutuan akan memastikan perumahan mampu milik disediakan untuk warga Wilayah Persekutuan dan dibina berhampiran berhampiran dengan akses kepada pengangkutan awam seperti stesen MRT dan LRT,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.