PPN: Johor Beralih Ke Fasa Tiga, Pahang Ke Fasa Empat 8 Okt Ini

KUALA LUMPUR, 6 Okt – Johor bakal beralih ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) manakala Pahang pula beralih ke Fasa Empat berkuat kuasa 8 Okt ini, menurut Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau dalam kenyataan berkata keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 hari ini.

“Peralihan fasa ini dibuat mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan setelah mengambil kira penilaian risiko semasa oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.

Beliau memaklumkan prosedur operasi standard (SOP) bagi negeri-negeri yang memasuki Fasa Tiga dan Empat adalah sama dengan sebelum ini, keterangan SOP terkini akan dikemas kini MKN di laman sesawang www.mkn.gov.my.

Hishammuddin memaklumkan mesyuarat itu turut bersetuju untuk membenarkan beberapa kelonggaran baharu termasuk waktu pengoperasian pasar borong, upacara mengikat thaali di rumah ibadat kuil dan pernikahan kudus (Holy Matrimony) dalam tempoh PPN, berkuat kuasa 9 Okt.

“Waktu beroperasi pasar borong di Fasa Dua dan Fasa Tiga dibenarkan mengikut syarat lesen dan permit Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seperti mana yang ditetapkan dengan syarat pekerja divaksin lengkap dan mematuhi SOP sedia ada,” katanya.

Mengenai pelaksanaan upacara mengikat thaali dan pernikahan kudus, beliau berkata Kementerian Perpaduan akan memaklumkan Persatuan Agama Hindu dan Persatuan Agama Kristian berhubung SOP yang perlu dipatuhi.

Selain itu, beliau berkata pengoperasian aktiviti lelongan awam bagi barangan sandaran di bawah sektor pajak gadai berdaftar di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga dibenarkan bermula 9 Okt ini dengan syarat tertentu.

Syarat berkenaan termasuk pekerja dan pembida lengkap divaksin, hanya melibatkan 54 pelelong yang telah dikenal pasti di seluruh negara, terhad kepada 30 minit setiap sesi pada 1 dan 7 haribulan setiap bulan dengan ketetapan kapasiti pekerja dan pembida mengikut fasa.

Bagi Fasa Dua, hanya 60 peratus kapasiti pekerja dan 50 peratus pembida diikuti Fasa Tiga, 80 peratus kapasiti pekerja dan 80 peratus pembida, manakala Fasa 4 dibenar beroperasi dengan kapasiti 100 peratus bagi pekerja dan pembida.

Beliau juga memaklumkan sektor tembakau dan rantaiannya dibenarkan beroperasi bagi Fasa Dua PPN dan seterusnya.

Hishammuddin turut mengingatkan orang ramai untuk terus mengamalkan SOP, meningkatkan penilaian kendiri bagi melindungi diri sendiri dan masyarakat sekeliling daripada COVID-19.

“Dalam usaha negara #ReopeningSafely, perkara paling penting adalah untuk kita semua tidak cepat berasa selesa dan bersikap sambil lewa.

“Di sebalik semua kelonggaran telah diumumkan, hakikat yang harus kita hadapi adalah kita semua terpaksa hidup bersama virus COVID-19,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.