Tidak Timbul Percanggahan Kepentingan Jika Azalina Pengerusikan Sidang Parlimen

KUALA LUMPUR, 5 Sept – Kedudukan Datuk Seri Azalina Othman Said yang dilantik sebagai Penasihat Khas Perdana Menteri, tidak akan menimbulkan isu percanggahan kepentingan, untuk mempengerusikan mesyuarat persidangan Dewan Rakyat.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun berkata jawatan Ahli Parlimen Pengerang sebagai Penasihat Khas Perdana Menteri itu, bukan berstatus menteri dan tidak menjadikan Azalina sebahagian daripada pihak pentadbiran atau eksekutif.

“…beliau hanyalah penasihat yang akan menasihat Perdana Menteri dan bukan menasihat kerajaan mengikut pendapat, pengetahuan dan kebijaksanaan beliau.

“Oleh kerana beliau bukan ahli eksekutif, maka saya tidak nampak apa-apa masalah dalam permintaan saya untuk (Azalina) mempengerusikan apa-apa persidangan atau mesyuarat.
Azalina Othman Said
“Sepanjang beliau mempengerusikan mesyuarat, sekiranya beliau tidak perlu membuat apa-apa ‘ruling’ (peraturan) mengenai perkara yang dinasihatkannya, maka saya tidak rasa timbul percanggahan kepentingan,” katanya.

Tegas Azhar lagi, sekiranya Azalina mempengerusikan mesyuarat dan perlu membuat sebarang peraturan berkaitan dengan kedudukan sebagai penasihat khas Perdana Menteri, maka Ahli Parlimen Pengerang itu akan diminta mengecualikan diri.

“Jika beliau (Azalina) berada dalam situasi percangahan kepentingan, saya pasti beliau akan mengecualikan diri dan saya sendiri akan arahkan beliau mengecualikan diri,” katanya.

Azhar berkata demikian menjawab pertanyaan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) mengenai kedudukan Azalina, yang diminta mempengerusikan mesyuarat mengikut Perkara 7 (3) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Terdahulu, ketika Azalina mempengerusi sesi penggulungan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH-Kulim Bandar Baharu) dan Wong masing-masing mempersoalkan kedudukannya sebagai pengerusi sementara, yang dikatakan akan menimbulkan isu percanggahan kepentingan berikutan Azalina telah dilantik sebagai penasihat Perdana Menteri.

Azalina bagaimanapun meminta kedua-dua Ahli Parlimen itu merujuk perkara itu kepada Azhar, yang menjemput dirinya bagi mempengerusikan mesyuarat untuk sementara waktu mengikut Peraturan Mesyuarat 7 (3).

Perkara 7 (3) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat menyatakan: Pada bila-bila masa mesyuarat bersidang, Tuan Yang Dipertua boleh meminta seseorang ahli mempengerusikan mesyuarat itu bagi sementara dengan tidak payah diberitahu Majlis Mesyuarat dengan secaranya dan ahli yang mempengerusikan ini tetaplah terserah kepadanya semua kuasa-kuasa Tuan Yang Dipertua sehingga Tuan Yang Dipertua balik semula mengetuakan mesyuarat. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.