SPR Terima Notis Pembubaran DUN Melaka

PUTRAJAYA, 5 Okt – Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka penggal ke-14, kata Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak.

Beliau dalam satu kenyataan hari ini berkata SPR menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran DUN Melaka pada 4 Okt itu daripada Speaker DUN Melaka.

Ikmalrudin berkata berdasarkan Fasal (4) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka, satu pilihan raya hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran DUN itu.

“SPR akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan mengenai pelaksanaan pilihan raya tersebut,” katanya dan menambah bahawa tarikh mesyuarat berkenaan akan dimaklumkan kemudian.

Speaker DUN Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dalam sidang media khas di Melaka hari ini mengumumkan bahawa DUN Melaka dibubarkan pada 4 Okt setelah dipersetujui Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Ali Rustam dan Proklamasi Pembubaran DUN Melaka yang ke-14 diwartakan pada hari ini.

Ia susulan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Sulaiman Md Ali.

Mereka ialah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Noor Effandi (Bersatu-Telok Mas).

Ab Rauf berkata buat masa ini, kerajaan negeri sedia ada akan menjadi kerajaan sementara sehingga PRN dilaksanakan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.