Kerjasama Asean Dalam Bidang Ketenteraan Boleh Jamin Keselamatan Rantau – Hishammuddin

 

KUALA LUMPUR, 5 Okt – Kerjasama ASEAN yang kukuh dalam bidang ketenteraan boleh menjamin keselamatan dan kestabilan rantau itu daripada sebarang ancaman luar.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata tidak boleh dinafikan gabungan tentera 10 negara dalam ASEAN ini dilihat lebih berkemampuan untuk berdepan kuasa besar berbanding kekuatan hanya sebuah negara.

Perkara sama katanya, dibangkitkan Menteri Pertahanan Indonesia dalam perbualan telefon dengannya semalam mengenai kepentingan kesemua negara ASEAN untuk berinteraksi lebih dekat terutama susulan pakatan strategik baharu Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat (AUKUS).

Bagaimanapun, pada sesi penggulungan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat hari ini, Hishammuddin berkata ini tidak bermakna negara ASEAN tidak perlu terus mendampingi kuasa-kuasa yang terlibat dengan AUKUS.

“Kebetulan utusan khas dari Australia, Naib Laksamana Australia akan datang jumpa saya hari ini. Apa kita lakukan melalui diplomasi ini bukan untuk mengatakan bahawa kita ini hebat sangat tetapi sekurang-kurangnya kita ada pendirian kita sebagai sebuah negara berdaulat.

“Dalam masa sama, 10 negara dalam ASEAN pun ada pendirian dan kekuatan, yang ada dalam kumpulan 10 negara ini boleh diutarakan kepada mana-mana pihak yang cuba menidakkan kedudukan kita di rantau ini,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab celahan Mohamad Sabu (Amanah-Kota Raja) yang mencadangkan ASEAN sebagai sebuah blok pakatan negara Asia Tenggara memainkan peranan penting dalam sesi-sesi dialog dengan negara besar terutama sekiranya melibatkan keselamatan rantau ini.
Mengulas lanjut, Hishammuddin berpendapat ia satu cadangan yang tepat dan merupakan teras keenam di bawah pelan strategik Kementerian Pertahanan iaitu pengukuhan kerjasama antarabangsa dalam menjamin pertahanan negara. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.