Keahlian UMNO Dua ADUN Melaka Gugur Automatik – Rauf

MELAKA, 5 Okt – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusuh mengesahkan keahlian ADUN Pantai Kundor, Datuk Noor Azman Hassan dan ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron dalam parti itu gugur secara automatik selepas mengumumkan hilang kepercayaan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Katanya, ia susulan dua dari empat wakil rakyat kerajaan itu iaitu ADUN Pantai Kundor, Datuk Noor Azman Hassan dan ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron membuat kenyataan menarik diri daripada menyokong kepimpinan Ketua Menterinya, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Ujarnya, tindakan itu tidak seharusnya berlaku kerana Melaka baru sahaja beralih ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan berada di landasan untuk melestarikan rakyat namun sudah berdepan tekanan politik mereka.

Sehubungan itu, beliau menyerahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam untuk menyelesaikan atau meleraikan kemelut politik berkenaan mengikut Perkara 9 selain mengikut 19(2) Perlembagaan Negeri di mana Yang di-Pertua Negeri boleh membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Terserah kepada Tun (Mohd Ali) sama ada DUN akan dibubarkan atau sebaliknya dan kebijaksanaan Tun untuk mengimbangi kepentingan rakyat ketika kita menghadapi tekanan politik ini.

“Apabila dipanggil Tun saya akan pergi (menghadap),” katanya ketika sidang akhbar di kediaman beliau di Masjid Tanah, pada Isnin. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.