Cadangan Baik Pulih Istana Raja Muda Perak Dibawa Ke Mesyuarat Exco – Saarani

IPOH, 5 Okt – Permintaan dan cadangan agar Istana Raja Muda Perak di Teluk Intan dikekalkan dan dibaik pulih akan dibawa ke mesyuarat exco kerajaan negeri terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat.

Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad berkata pihaknya telah menghadap Raja Puan Besar Perak Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah, petang semalam berhubung permintaan baginda yang mahu Istana Raja Muda Perak di Teluk Intan dikekalkan dan dibaik pulih.

“Saya perlu membawa perkara ini dalam mesyuarat exco kerajaan negeri untuk melihat bagaimana kita boleh merealisasikan hasrat baginda,” katanya kepada pemberita selepas melawat pusat pemberian vaksin (PPV) remaja di Sekolah Izzuddin Shah di sini hari ini.

Pada 29 Sept lepas, Raja Nazhatul Shima menzahirkan harapan agar bangunan istana itu dikekalkan dan tidak dijual kepada pihak lain dan perlu dibaik pulih.

Raja Nazhatul Shima bertitah baginda sayangkan istana itu kerana pernah tinggal di sana semasa kecil yang menjadi kenangan indah baginda, tambahan pula yang mendiami istana itu kesemuanya Raja Muda Perak.

Dalam perkembangan lain, Saarani berkata beliau telah mengadakan sesi libat urus dengan kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk pembangkang mengenai pandangan dan pendapat dalam proses merangka inisiatif Belanjawan Perak 2022.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk rakan pembangkang telah memberi pelbagai pandangan yang kita ambil kira.

“Mungkin kita tidak dapat memenuhi kehendak semua orang sebab tekanan kewangan dan sumber yang tidak mencukupi tetapi kita sedaya upaya akan cuba berlaku adil kepada semua pihak.

“Kita memberi fokus hendak mengembalikan dan membangunkan kembali negeri untuk memulihkan ekonomi dan memberi perhatian kepada kebajikan rakyat terkesan akibat COVID-19,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.