Mesej Tular UMNO Sabah Hilang Kepercayaan Kepada Ketua Menteri, Palsu

KOTA KINABALU, 4 Okt – Mesej bergambar tular kononnya daripada Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin yang mengatakan UMNO Sabah hilang kepercayaan kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor adalah palsu.

Setiausaha akhbar kepada Timbalan Ketua Menteri Sabah Jaafar Abd Wahid berkata Bung Moktar, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, tidak ada membuat sebarang kenyataan media mengenai perkara tersebut.

Jaafar berkata mesej bergambar tersebut telah disunting oleh individu yang tidak bertanggungjawab dengan mengambil kira situasi politik yang berlaku di Melaka ketika ini.

Beliau berkata perbuatan menyunting mesej bergambar itu dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab demi kepentingan politik peribadi.

“Sehubungan itu, saya menyeru kepada semua pihak agar tidak mempercayai berita ini dan menularkannya di media sosial atau mana-mana platform,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Hari ini, empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka mengumumkan hilang kepercayaan serta menarik sokongan terhadap kepimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai Ketua Menteri Melaka. – BERNAMA