Hisamudin Antara Tiga Angkat Sumpah Sebagai Senator

KUALA LUMPUR, 4 Okt – Ahli Eksekutif Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Mohd Hisamudin Yahaya antara tiga individu mengangkat sumpah sebagai senator di Dewan Negara, di sini hari ini.

Beliau adalah lantikan baharu yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkuat kuasa mulai hari ini hingga 3 Okt 2023.

Upacara mengangkat sumpah dilakukan di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim.

Selain Hisamudin yang juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian Putrajaya, turut mengangkat sumpah ialah Setiausaha DAP Pulau Pinang Lim Hui Ying dan Pesuruhjaya PAS Terengganu Datuk Husain Awang, masing-masing dipilih semula oleh kerajaan negeri.

Hisamudin, 49, berasal dari Bota, Perak, kini memegang jawatan antaranya Ketua Pengarah Eksekutif Gen Rekabumi (M) Sdn Bhd, Ahli Lembaga Pengarah Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai FAM.

Hisamudin pada sidang media selepas majlis angkat sumpah itu berkata beliau akan memberi fokus terhadap kehidupan penjawat awam di Putrajaya dan Kuala Lumpur, isu berkaitan sukan, pelancongan dan masyarakat secara amnya.

“Saya ingin merakamkan terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong kerana memperkenan pelantikan saya. Terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Presiden parti (UMNO) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Ku Nan (Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor) yang mencadangkan nama saya,” katanya.

Sementara itu, Rais berkata fungsi legislatif Dewan Negara hari ini kembali pada hak sepatutnya selepas lebih sembilan bulan Dewan tidak bersidang bagi membolehkan ahli Senator memainkan peranan dan melunaskan tanggungjawab mereka sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Tentunya, apa yang berlaku dalam tempoh sembilan bulan tersebut perlu menjadi iktibar kepada kita semua khususnya badan eksekutif agar kedudukan institusi Parlimen selaku badan tertinggi perundangan negara perlu sentiasa dihormati, diangkat dan didaulatkan melebihi apa jua senario politik.

“Apa jua permasalahan politik harus diselesaikan dengan pendekatan politik matang tanpa perlu mengheret sama institusi legislatif ini kerana Parlimen perlu sentiasa berada seranting di atas daripada politik,” katanya ketika berucap mengalu-alukan pelantikan itu.

Rais turut memaklumkan Parlimen ketika ini sedang rancak mengusahakan transformasi bagi memberi nafas baharu kepada Dewan Negara dan Dewan Rakyat dengan draf Rang Undang-undang dan Memorandum Jemaah Menteri mengenai transformasi itu sudah diserahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar untuk diteliti dan diluluskan kerajaan, pada 30 Sept lepas.

Beliau berkata melalui transformasi itu, Dewan Negara dan ahli Senator akan diaktifkan menerusi pembentukan tiga Jawatankuasa Pilihan Khas yang mempunyai kuasa perundangan iaitu Jawatankuasa Pilihan Khas Kesejahteraan Rakyat, Jawatankuasa Pilihan Khas Sosiobudaya, Komunikasi dan Pendidikan serta Jawatankuasa Pilihan Khas Tadbir Urus, Integriti dan Anti Rasuah.

“Kita berkeyakinan penuh apabila ketiga-tiga jawatankuasa pilihan khas ini dijelmakan sepenuhnya, peranan Dewan Negara dalam soal memperjuangkan isu serta kemaslahatan rakyat akan tersohor dan sekali gus dengan sendirinya akan menghakis persepsi kurang enak yang sekian lama dilemparkan kepada Dewan ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata dalam mensohorkan Dewan Negara, ada keperluan untuk menilai semula proses pemilihan dan pelantikan ahli Senator agar Perkara 45 Perlembagaan Persekutuan khususnya dalam aspek profesion benar-benar dapat diterjemahkan.

“Dalam hal ini, saya serahkan kepada Ahli-ahli Yang Berhormat untuk meneliti dan memperdebatkannya agar satu solusi komprehensif dapat dicapai demi Dewan yang mulia ini,” katanya. – BERNAMA