MARA Belanja RM70 Juta Menerusi Misa Untuk Bantu Usahawan Automotif

ALOR SETAR, 3 Okt – Majlis Amanah Rakyat (MARA) sudah membelanjakan kira-kira RM70 juta menerusi MARA Integrated Smart Auto (MISA) bagi membantu usahawan dalam bidang automotif mengembangkan perusahaan sejak ia mula diperkenal pada 2013.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata sehingga kini, sebanyak 48 usahawan automotif di seluruh negara sudah mendapat manfaat daripada program itu yang menawarkan had pembiayaan maksimum RM1 juta.

“Ekosistem lengkap MARA dalam membangunkan industri automotif bermula dengan pendidikan, latihan teknikal dan vokasional (TVET) yang menyediakan program automotif pelbagai peringkat sehingga kepada penyediaan fasiliti keusahawanan, latihan, bantuan pembiayaan serta khidmat nasihat.

“Malah skim pembiayaan khas bagi usahawan automotif melalui MISA juga disediakan khusus untuk para usahawan bagi membantu mereka mengembangkan perniagaan dan menaik taraf bengkel mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Servis Perniagaan Mazlan dan Hashimah (PMH) Sdn Bhd di sini hari ini.

Beliau berkata beberapa program khas turut dibangunkan bagi memantapkan lagi usahawan dalam bidang itu antaranya Program Pembangunan Usahawan Automotif MARA Petronas (PUMP) dan program khas Auto Glass Expert (AGE).

Mahdzir juga berkata automotif merupakan antara bidang TVET yang mendapat sambutan memberangsangkan dan memfokus kepada dua elemen utama iaitu melahirkan tenaga kerja profesional serta berkemahiran selain membimbing individu yang berminat untuk menjadi usahawan automotif.

“PMH Sdn Bhd merupakan antara contoh usahawan automotif berjaya yang dibimbing MARA dan ia hasil kegigihan seorang anak muda bekas pelajar Institut Kemahiran MARA (IKM) yang sentiasa mencari ruang serta peluang untuk menambah baik prestasi pusat servis ini.

“Beliau (Mohd Izwan Mazlan) yang baru berusia 36 tahun dan merupakan generasi kedua perusahaan ini berjaya menaik taraf bengkel membaiki kereta biasa ke tahap pusat servis kereta premium setanding syarikat ternama,” katanya.

Beliau berkata MARA menyediakan pelbagai bantuan termasuk pembiayaan bagi pembelian peralatan, modal pusingan, pengubahsuaian bengkel dan latihan peningkatan perniagaan.

Katanya MARA akan terus komited membantu usahawan yang berminat mengembangkan sayap perniagaan agar lebih berdaya saing dan maju. – BERNAMA