Penyelaras Di Setiap Daerah Untuk Pantau Program Kemiskinan – PM

KUALA LUMPUR, 2 Okt – Seorang penyelaras yang berperanan dalam memantau program kemiskinan akan dilantik di peringkat daerah bagi memastikan usaha menangani isu kemiskinan dilaksanakan dengan lebih berkesan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata penyelaras itu akan diletakkan di bawah pegawai daerah, yang mungkin seorang penolong pegawai daerah yang dikhususkan untuk mendapatkan data kemiskinan dan program kemiskinan.

Kerajaan, katanya memandang serius isu kemiskinan dan disebabkan itu ia memberi penekanan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) dengan tumpuan kepada enam negeri dianggap miskin seperti Sabah, Sarawak, Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu yang mempunyai ramai golongan B40.

Beliau mengharapkan pada akhir RMK12 pada 2025, sasaran kerajaan untuk mencapai 98 peratus penyediaan utiliti asas seperti air dan elektrik tercapai termasuk penyediaan rumah PPRT dan PPR serta projek perhubungan desa dan kampung yang mempunyai faedah terus kepada rakyat.

“Selain itu dari segi projek (bantuan kemiskinan), siapa yang dapat, siapa tak dapat supaya akhirnya ia menyeluruh diterima semua orang. Kalau tidak sekarang ni kadang-kadang satu orang tu dia dapat bantuan daripada tiga, empat kementerian,” katanya semasa wawancara khas bersama editor kanan media di sini baru baru ini.

Perdana Menteri berkata pegawai penyelaras yang dilantik nanti itu akan mengumpulkan data kemiskinan termasuk individu yang telah berjaya mengubah kehidupan mereka seperti beralih daripada dalam golongan B40 menjadi M40.

“Semua data tu ada pada dia. Katakan kita beri projek seperti buat roti canai untuk dia meneruskan kehidupan dia, dia berjaya ke tidak? Sekarang ni tak ada (data itu). Lepas ini akan ada outcome daripada apa yang kita bantu… akhirnya kita tahu, dalam kampung tu daripada 10 orang miskin tegar, berapa yang dah keluar dari garis kemiskinan tegar tadi.

“Sekurang-kurangnya kita tahu kejayaan kita. Sebab itu kita nak selaraskan bukan setakat kemiskinan sahaja, tapi dari segi pembahagian sumbangan kerajaan… sumbangan daripada zakat, sumbangan jabatan kebajikan masyarakat, sumbangan macam-macam. Sebab tu, kita kalau boleh selepas ini dari segi penyelarasan kita akan buat dari semua sudut, dari segi sumbangan, dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata sebelum ini, banyak kementerian mempunyai program tentang kemiskinan tetapi tiada pemantauan yang khusus mengenai keberkesanan program kemiskinan itu.

“Kita punya rancangan kita tak nak bagi duit tunai tetapi kita latih mereka katakan untuk berniaga. (Selama ini) kita latih dia tapi tidak ada pemantauan. Esok lusa kementerian lain pula masuk ke kampung itu untuk bantu, latih lagi.

“Esok lusa mungkin majlis agama di bawah zakat masuk lagi ke kampung tu, latih lagi. Tetapi tiada siapa yang pantau lepas tu. Pimpin tangan ni tak ada, tak ada istilah pimpin tangan. Bagi kursus, bagi barang, tinggal… akhirnya semua gagal. Akhirnya projek itu gagal kerana tidak ada pemantauan khusus,” katanya.

Ismail Sabri berkata tumpuan kerajaan kepada isu kemiskinan bukan hanya di luar bandar tetapi juga di bandar dengan Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar dan Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat Luar Bandar akan dilaksanakan.

“Maknanya ada program khusus yang kita perkenalkan dan kos RM1.5 bilion untuk kedua-duanya. Sebab itu saya katakan ia menyeluruh dan kalau dulu kita juga dah bincang dalam Majlis Pekerjaan Malaysia. Sekarang ini banyak latihan tapi semua orang buat latihan dan latihan itu tak memenuhi dari segi kehendak pasaran.

“ Apa permintaannya, permintaan sekarang cakap soal e-dagang, e-perniagaan, perniagaan online. Jadi latih sepatutnya supaya latih mereka yang terlibat dengan perniagaan online ini. Orang muda… ekonomi gig sekarang ini, e-hailing, p-hailing. Fokus biarlah kepada yang ada permintaan, itu yang kadang-kadang tidak padan. Kursus lain tapi bila keluar tak ada apa, tak boleh nak kerja, tak boleh nak meniaga,” katanya.

Perdana Menteri berkata program menangani kemiskinan sangat penting kerana ketika ini akibat pandemik COVID-19, ada golongan B40 menjadi miskin tegar, M40 menjadi B40, malah ada yang menjadi miskin tegar.

“Sebenarnya B40 semakin meningkat dari segi jumlahnya dan miskin tegar semakin banyak sebab yang pertama kita baru sahaja menaikkan garis paras kemiskinan miskin tegar, miskin, dan kemudiannya kena pula COVID jadi lebih bertambah,” katanya.

Ismail Sabri berkata kerajaan juga bersetuju, perkara melibatkan latihan akan diletakkan di bawah satu kementerian sahaja iaitu Kementerian Sumber Manusia iaitu melalui Human Resources Development Fund (HRDF).

“Kita dah setuju akan diletakkan bawah satu kementerian untuk selaraskan sebab ada enam kementerian buat kursus. Kadang-kadang yang untung syarikat yang berikan kursus. Sekarang ini kalau kita tengok kursus semua kementerian buat tapi akhirnya kursus yang sama,” katanya.

Mengenai sasaran meningkatkan purata pendapatan isi rumah kira-kira RM10,000 sebulan pada 2025, Ismail Sabri berkata kerajaan telah merancang beberapa program ekonomi yang melibatkan teknologi baharu

“Fokus pertama merancakkan pertumbuhan ekonomi, ini yang saya sebut program mewujudkan centre for future industry (Pusat Kecemerlangan Industri Masa Depan), dana harta intelek, pembiayaan, digital, mcama-macam yang kita buat ini. Itu semua ke arah untuk meningkatkan pendapatan,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.