Pahang Tambah Pewartaan 780.94 Hektar Sebagai Hutan Tadahan Air – Wan Rosdy

KUANTAN, 2 Okt – Kerajaan Pahang bersetuju mewartakan tambahan 780.94 hektar hutan sebagai Hutan Tadahan Air (HTA) melibatkan hutan di dalam daerah Maran dan Kuantan.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata ia melibatkan kawasan seluas 443.73 hektar Hutan Simpanan Kekal (HSK) Berkelah, Maran dan 337.21 hektar HSK Lepar, Kuantan.

“Tambahan kawasan ini menjadikan keseluruhan HTA di Pahang seluas 343,503.35 hektar. Pewartaan HTA bermakna tiada sebarang aktiviti pengusahahasilan boleh dilakukan dalam kawasan yang disifatkan sensitif alam sekitar,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Wan Rosdy berkata keputusan menambah pewartaan yang dibuat pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Pahang Rabu lepas (29 Sept), dapat terus memelihara dan menjamin kelestarian alam sekitar negeri ini.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy memaklumkan tambahan 443.73 hektar di HSK Berkelah merupakan tambahan kepada 2,134 hektar HTA sedia ada di situ, menjadikan keseluruhan HTA kepada 2,577.73 hektar.

Luas keseluruhan HSK Berkelah ialah 40,502.05 hektar.

Bagi HSK Lepar yang berkeluasan 22,247 hektar, ini merupakan kali pertama kawasan HTA bakal diwartakan di situ.

Pahang mempunyai HSK seluas 1.59 juta hektar. – BERNAMA