MARA Liner Sedia Bantu Pulih Industri Pelancongan Negara – Mahdzir

KUALA NERANG, 2 Okt – Majlis Amanah Rakyat (MARA) menerusi syarikat pengangkutannya MARA Liner Sdn Bhd akan membantu memulihkan industri pelancongan di negara ini dengan menyediakan perkhidmatan pengangkutan ke destinasi di bawah projek rintis gelembung pelancongan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata pada masa ini MARA Liner menyediakan sebanyak 174 trip perjalanan seminggu dari Kuala Lumpur ke Kuala Perlis, Perlis bagi menyokong gelembung pelancongan Langkawi yang dilancarkan 16 Sept lepas.

“Sudah ada penggunaan bas kita untuk pelancongan tetapi dalam gelembung pelancongan. MARA boleh membantu meningkatkan pelancongan negara kita dan untuk tujuan itu, kita juga telah mewajibkan bahawa semua pemandu bas MARA Liner mendapatkan dua dos vaksin COVID-19.

“Saya kira dengan keadaan COVID-19 di peringkat negara semakin menurun dan ada negeri telah ke Fasa Dua atau Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara, saya yakin bahawa akhirnya nanti sekiranya dapat merentas negeri, kita dapat memulihkan pelancongan,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Bas MARA Liner di sini hari ini.

Beliau berkata apabila industri pelancongan negara pulih ia sekali gus akan memberi nafas baharu kepada industri pengangkutan terutama bagi syarikat perkhidmatan bas seperti MARA Liner untuk kembali beroperasi seperti sedia kala.

Sementara itu, Mahdzir berkata walaupun terjejas dengan penularan COVID-19 dan sekatan rentas negeri, perkhidmatan bas MARA Liner tetap beroperasi seperti biasa bagi membantu menyediakan pengangkutan terutama di kawasan luar bandar.

Beliau berkata pada 2019, MARA Liner mencatatkan jumlah penumpang mencecah 83,000 seluruh negara sebelum menurun kepada 52,000 pada tahun lepas dan mencatatkan seramai 12,000 penumpang hingga Ogos lepas.

“Yang paling penting sekali ialah bagaimana kita dapat membantu untuk masyarakat di luar bandar ini mendapat perkhidmatan pengangkutan yang boleh setanding dengan kawasan bandar.

“Kita menyediakan perkhidmatan untuk rakyat. Bukan sahaja di Padang Terap tetapi seluruh negara. Maknanya, kawasan-kawasan yang sukar dari segi pengangkutan, MARA Liner ambil tanggungjawab itu,” katanya.

Mengulas mengenai penyerahan dua bas baharu kepada bengkel MARA Liner di sini, Mahdzir berkata ia akan memberi manfaat kepada lebih 200,000 penduduk setempat dan menambah baik operasi bagi laluan Kuala Nerang-Terminal Bas Naka, di sini. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.