KPT Prihatin Platform Bantu Pelajar IPT – Noraini

BATU PAHAT, 2 Okt – Program Walkabout Sentuhan Kasih Mahasiswa @ KPT Prihatin merupakan platform membantu dan mengurangkan beban pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) terutamanya golongan B40, Orang Kurang Upaya (OKU), masyarakat Orang Asli dan mereka yang ditimpa musibah.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata program kerjasama dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan universiti awam (UA) itu turut memperkasa kebajikan dan memupuk semangat kesukarelawan yang tinggi dalam kalangan warga IPT dan KPT.

“Ia merupakan usaha KPT untuk menyantuni pelajar dan warga IPT di seluruh negara dan hari ini, kita telah melawat 22 rumah pelajar di sekitar Batu Pahat untuk memberi sumbangan dan menyerahkan Surat Tawaran Kemasukan Sesi 2021/2022.

“Selain itu, kita turut menyerahkan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) daripada PTPTN, Akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dan biasiswa yang meliputi elaun wang saku, yuran pengajian, yuran penginapan dan tambang penerbangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata pada program berkenaan terdapat juga UA yang menyumbang peralatan pembelajaran seperti komputer riba bagi kegunaan pelajar, malah ada pelajar turut menerima Dermasiswa My Brighter Future (MyBF) daripada Yayasan Tenaga Nasional (YTN).

“Kerajaan sentiasa komited untuk membantu menyelesai serta menangani isu-isu pendidikan secara holistik melalui pendekatan dan strategi yang berkesan,” katanya.

Terdahulu, Noraini menyempurnakan Program Walkabout Sentuhan Kasih Mahasiswa @ KPT Prihatin di sekitar Batu Pahat.

Antara UA terlibat dalam program tersebut ialah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT). – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.