LIMA, DSA: Kerajaan Teliti Situasi COVID-19 Sebelum Putuskan Penganjuran – Hishammuddin

PETALING JAYA, 30 Sept – Kerajaan akan mengkaji secara teliti situasi semasa penularan wabak COVID-19 di negara ini, sebelum memutuskan penganjuran Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) dan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA).

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata pihaknya perlu terlebih dahulu berbincang dengan pihak industri dan syarikat berkepentingan dari luar negara bagi memastikan penglibatan mereka untuk menjayakan kedua-dua pameran berkenaan.

“LIMA dan DSA banyak bergantung kepada keadaan COVID-19. Saya hendak mengingatkan keputusan penganjuran pameran berkenaan tidak hanya berkisarkan kepada pertimbangan kita sendiri kerana suasana COVID-19 akan menentukan penglibatan industri berkaitan.

“Kita kena berdoa, dan hari ini kita lihat keadaan COVID-19 di negara ini semakin bertambah pulih. Pada masa sama, kita kena berinteraksi dengan semua pihak terbabit untuk menjayakan kedua-dua pameran berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pemakaian Beret Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Penyerahan Bendera Malaysia dan Penghantaran Kumpulan Pertama Malbatt 850-9 ke Lubnan di Pangkalan Udara TUDM Subang dekat sini hari ini.

Pada 5 Mac lepas, media melaporkan LIMA tidak akan diadakan pada tahun ini walaupun ada permintaan untuk ia dilaksanakan secara maya dan keputusan untuk mengadakan pameran LIMA pada 2023 masih lagi dikekalkan.

DSA pula yang dijadualkan berlangsung pada Ogos 2020 ditunda selama hampir dua tahun ke tarikh baharu iaitu 28-31 Mac 2022. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.