Individu Lengkap Divaksinasi Dibenar Hadir Tonton Perlawanan Sukan Mulai 1 Okt – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 29 Sept – Individu yang lengkap divaksinasi dibenarkan hadir menonton perlawanan sukan dan rekreasi, kecuali kanak-kanak di bawah umur 18 tahun, berkuat kuasa 1 Okt ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 berkata kehadiran itu meliputi sebelum, semasa dan selepas acara, dengan syarat, penonton atau penyokong memakai pelitup muka sepanjang perlawanan serta tiada aktiviti makan dan minum sepanjang berada di stadium.

Majlis rasmi kerajaan dan swasta termasuk perasmian dan bengkel, juga dibenarkan di negeri Fasa Dua dan Tiga, dengan syarat tetamu telah menerima vaksinasi lengkap serta kapasiti peserta dihadkan kepada 50 peratus ruang premis, manakala kapasiti penuh dibenarkan di negeri Fasa Empat.

“Bagi individu yang belum divaksin, perlu menjalani pre-event test (ujian pra acara) menggunakan kit ujian kendiri (saliva) sebelum hadir dengan disaksikan oleh penganjur atau pengesahan daripada pengamal perubatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, sektor latihan kemahiran dan pusat latihan industri termasuk kolej vokasional, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan sebagainya dibenarkan dibuka semula berkuat kuasa 15 Okt di semua fasa, selaras dengan pembukaan institut pengajian tinggi (IPT).

Kelonggaran baharu itu diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 hari ini, dengan maklumat lanjut mengenai prosedur operasi standard (SOP) boleh didapati di laman sesawang rasmi kementerian-kementerian yang terlibat dan www.mkn.gov.my.

“Walaupun kerajaan memberikan kelonggaran, namun saya berharap agar rakyat dapat terus patuh kepada SOP yang ditetapkan dalam usaha memutuskan rantaian COVID-19.

Kerjasama Keluarga Malaysia amat diharapkan agar terus mengamalkan kawalan kendiri, jaga kebersihan demi keselamatan diri,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata kerajaan memandang serius isu segelintir individu yang melanggar Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) dengan keluar daripada kediaman mereka.

Katanya individu yang didapati bersalah, akan dikenakan tindakan yang tegas kerana perbuatan tidak bertanggungjawab itu boleh mengundang risiko keselamatan kepada masyarakat serta menjejaskan usaha kerajaan dalam menangani wabak COVID-19. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.