Seramai 10,317 Individu Muflis Sepanjang Tempoh PKP

KUALA LUMPUR, 28 Sept – Seramai 10,317 individu diisytihar muflis sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai Mac 2020 hingga Julai lepas susulan pandemik COVID-19, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Memetik data Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI), beliau berkata Selangor mencatatkan jumlah individu paling tinggi diisytihar muflis iaitu seramai 2,555 orang, diikuti Wilayah Persekutuan (1,288 orang) dan 792 orang di Johor.

Selain itu, katanya jumlah syarikat yang gulung tikar sepanjang tempoh itu adalah sebanyak 1,246 kes.

“MdI tidak mempunyai rekod mengenai jumlah pekerja yang diberhentikan sepanjang tempoh PKP memandangkan MdI hanya bertindak untuk mengendalikan pentadbiran kes kebankrapan individu dan pentadbiran kes syarikat yang telah mendapat perintah penggulungan daripada mahkamah,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat semalam.

Beliau menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) yang ingin tahu bilangan syarikat gulung tikar dan data pekerja diberhentikan bagi 2020 dan 2021 serta bantuan ekonomi khusus kepada pengusaha yang menamatkan perniagaan dan individu hilang pekerjaan dalam tempoh PKP.

Ismail Sabri berkata berdasarkan input Kementerian Kewangan (MOF), kerajaan tidak menyediakan bantuan khusus untuk peniaga yang menamatkan perniagaan, sebaliknya mengambil pendekatan memberi bantuan dan insentif untuk menyokong kelangsungan perniagaan mereka.

“Sehubungan itu, pelbagai program dan inisiatif dilaksanakan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi dan bantuan kewangan yang telah diumumkan dengan fokus untuk menyokong perniagaan mereka dan melindungi rakyat,” katanya.

Ismail Sabri berkata antara inisiatif itu ialah Geran Khas Prihatin, Program Subsidi Upah, pengecualian levi, moratorium pembayaran balik pinjaman, skim kredit mikro, elaun mencari pekerjaan, bantuan kehilangan pendapatan dan kemudahan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta bantuan khas COVID-19. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.