RMK12: Bung Moktar Cadang Peruntukan Salur Terus Kepada Kerajaan Negeri

KOTA KINABALU, 28 Sept – Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin mencadangkan peruntukan untuk Sabah di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) disalurkan terus kepada kerajaan negeri agar dapat diselaraskan oleh jabatan atau agensi berkaitan.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata ini bagi memastikan RMK12 dilaksana dengan lancar kerana kerajaan negeri lebih memahami demografi dan keperluan rakyat.

Katanya jika cadangan tersebut sukar dilaksanakan, sebuah jawatankuasa pemantauan bersama boleh diwujudkan antara kerajaan Persekutuan dan negeri bagi memastikan pelan pembangunan infrastruktur yang digariskan mencapai sasaran dan memenuhi aspirasi rakyat negeri ini.

“Sebagai Ahli Parlimen dari Sabah sudah tentu saya mengalu-alukan RMK12 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob), yang secara jelas tumpuan diberikan bagi merapatkan jurang pembangunan Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak.

“Ia sudah pasti berlandaskan kepada Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) dan selaras dengan Semangat Keluarga Malaysia demi memastikan rakyat di Sabah dan Sarawak menikmati pembangunan secara saksama,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berharap pelaksanaan RMK12 khususnya di Sabah berjalan lancar dan karenah birokrasi perlu dielakkan bagi memastikan rancangan itu dapat direalisasikan demi kesejahteraan rakyat. – BERNAMA