Akses Internet Sebagai Hak Asasi Manusia Jadi Pemacu Utama Kkmm Dalam RMK12

PUTRAJAYA, 28 Sept – Akses kepada internet sebagai hak asasi manusia menjadi pemacu utama Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) bagi memastikan tiada komuniti ketinggalan dalam usaha menjayakan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), kata Menterinya Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata KKMM komited di bawah RMK12 untuk memberi tumpuan mempertingkat ketersambungan digital dan memperhebat ekonomi digital, serta memberi nilai tambah dan manfaat kepada Keluarga Malaysia.

Annuar dalam satu kenyataan hari ini berkata KKMM akan bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan dalam pelbagai industri untuk memastikan tiada komuniti yang ketinggalan dalam pendigitalan negara di bawah RMK12.

“Saya telah juga berjumpa dengan pelbagai pihak berkepentingan di dalam industri telekomunikasi termasuk daripada pihak swasta untuk memastikan inisiatif pendigitalan di bawah RMK12 menggunakan satu pendekatan keseluruhan negara (whole-of-nation approach),” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika membentangkan RMK12 di Dewan Rakyat semalam berkata kerajaan akan meningkatkan infrastruktur dan perkhidmatan digital, bagi merapatkan jurang digital terutama antara luar bandar dan bandar memandangkan teknologi digital banyak mencorak kehidupan rakyat pada masa kini.

Annuar berkata KKMM telah merangka strategi pemerkasaan untuk mewujudkan persekitaran yang menyokong pertumbuhan ekonomi digital termasuk penyediaan infrastruktur dan perkhidmatan digital, membangunkan bakat digital masa hadapan, memperluas pendigitalan dan menjadikan Malaysia sebagai Pusat Digital ASEAN.

KKMM mengetuai Kluster Infrastruktur Digital dan Data iaitu salah satu daripada enam kluster yang dibentuk di bawah Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) dan Dasar 4IR Negara, bagi mempercepatkan ekosistem pembangunan ekonomi digital dan 4IR negara.

Annuar berkata KKMM akan sentiasa memantau dan memastikan pelaksanaan inisiatif pendigitalan di bawah Kluster Infrastruktur Digital dan Data, dilaksanakan mengikut fasa yang ditetapkan sehingga 2025 atau dipercepatkan daripada sasaran, dan bekerjasama dengan pelbagai pihak berkaitan kerana inisiatif pendigitalan itu merentas kementerian dan agensi.

Beliau berkata menerusi pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), sebanyak 94 peratus kawasan berpenduduk telah mendapat liputan 4G sehingga Ogos 2021, manakala rangkaian teknologi 5G akan dilancarkan pada penghujung tahun ini.

“JENDELA menyasarkan 100 peratus liputan 4G di kawasan berpenduduk, liputan 5G yang lebih luas dan jalur lebar talian tetap kepada sembilan juta premis menjelang tahun 2025,” katanya.

Annuar berkata kesemua inisiatif pendigitalan akan menyokong kepada sasaran 25.5 peratus sumbangan ekonomi digital kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2025.

“Bagi memastikan peluang ekonomi digital rakyat diperluaskan hingga ke peringkat akar umbi, pembangunan ekonomi digital akan dibangunkan bersama di pelbagai titik sentuh seperti Pusat Internet Komuniti yang akan ditransformasi sebagai Pusat Digital Keluarga Malaysia di seluruh negara,” katanya.

Annuar berkata, KKMM juga akan menumpukan kepada usaha mengukuhkan ekosistem industri kreatif sebagai salah satu industri strategik dan berimpak tinggi yang mempunyai potensi besar dalam menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

“Industri kreatif menyasarkan sumbangan kepada KDNK sebanyak RM31.9 bilion menjelang tahun 2025,” katanya. – BERNAMA