RMK12: Kerajaan Peruntuk RM2.25 Bilion Sedia Bantuan Perumahan Buat Rakyat Miskin

KUALA LUMPUR, 27 Sept – Kerajaan memperuntukkan RM2.25 bilion bagi menyediakan bantuan perumahan kepada rakyat miskin dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata peruntukan itu adalah untuk membina dan membaik pulih 85,500 unit rumah di bawah Program Bantuan Rumah, melibatkan 75,000 unit rumah di kawasan luar bandar dan hampir 10,500 unit rumah di kawasan bandar bagi tempoh 2021 hingga 2025.

“Bagaimanapun, ia tidak termasuk pembinaan rumah yang dilaksanakan di bawah kerajaan negeri, sektor korporat dan Pertubuhan Masyarakat Sivil (CSO),” katanya ketika membentangkan RMK12 yang bermatlamat ‘Keluarga Malaysia – Makmur, Inklusif, Mampan’, di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata kerajaan juga akan membina 500,000 unit lagi rumah mampu milik bagi meningkatkan peluang kumpulan B40 dan M40 memiliki rumah selaras Dasar Perumahan Negara.

Di samping itu, kerajaan juga akan menambah baik kemudahan pembiayaan termasuk Dana untuk Rumah Mampu Milik, Skim Perumahan Belia dan Program Rent-to-Own (RTO) bagi memastikan golongan tersebut tidak terbeban dengan bayaran ansuran. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.