Rangka Kerja Perkasa Gender Akan Diperkenal Dalam RMK12 – PM

KUALA LUMPUR, 27 Sept – Kerajaan akan memperkenalkan rangka kerja bagi memperkasakan gender manakala undang-undang sivil dan syariah akan diperkukuh bagi menangani isu berkaitan wanita, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat hari ini, Ismail berkata usaha memperkasakan gender dalam pembangunan juga akan diteruskan dengan meningkatkan penglibatan wanita dalam sektor ekonomi dan proses membuat keputusan.

“Akses dan kualiti perkhidmatan penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak serta penjagaan warga emas dengan yuran yang berpatutan akan dipertingkat bagi mendorong lebih ramai wanita untuk kekal atau kembali bekerja,” katanya.

Tambahnya penyertaan wanita dalam pasaran kerja disasarkan mencapai 59 peratus pada 2025.

Mengenai pembangunan ekonomi usahawan wanita, Ismail berkata ia akan diperkukuh dengan meningkatkan akses kepada pembiayaan dan aktiviti latihan kemahiran.

“Usahawan wanita juga akan digalakkan untuk menjalankan aktiviti perniagaan secara dalam talian untuk memperluas pasaran,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail berkata jumlah Orang Kurang Upaya (OKU) yang berdaftar telah meningkat sebanyak lapan peratus iaitu daripada 548,000 pada 2019 kepada 593,000 pada 2020.

Jelasnya golongan ini akan terus diperkasa dengan melaksanakan program seperti ‘Job Coach’, Pemulihan Dalam Komuniti, perkhidmatan Pusat Kehidupan Berdikari, program keusahawanan OKU dan karnival kerjaya khas.

Perdana Menteri berkata bagi memastikan keperluan warga emas terpelihara, kerajaan akan memperbanyakkan sistem sokongan kepada warga emas.

“Sehingga hari ini, sebanyak 140 pusat warga emas telah diwujudkan dan kerajaan merancang untuk memperluas usaha ini ke seluruh kawasan Parlimen.

“Malaysia juga perlu mewujudkan lebih banyak bandar mesra warga emas pada masa akan datang. Sistem Pendaftaran Warga Emas Nasional akan ditambah baik dan liputannya diperluas,” kata perdana menteri. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.