Rancangan Malaysia Ke-12 Tumpuan Dewan Rakyat Hari Ini

KUALA LUMPUR, 27 Sept – Persidangan Dewan Rakyat hari ini tertumpu kepada pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, satu hala tuju yang bakal memacu negara bagi tempoh 2021-2025.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman web rasmi Parlimen, Ismail Sabri dijangka mengemukakan usul RMK12 pada 11.30 pagi, sebaik selesai sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan yang bermula 10 pagi.

Selain itu, takwim Dewan Rakyat memaklumkan selepas pembentangan itu, persidangan dewan akan ditangguhkan pada Selasa untuk sesi perbahasan RMK12 oleh Ahli Dewan Rakyat yang dijadual selama empat hari.

Bertepatan dengan konsep Keluarga Malaysia, RMK12 dijangka memberi keutamaan kepada aspek kebajikan, perlindungan sosial dan projek-projek berpaksikan rakyat yang menjadi keutamaan berbanding projek mega baharu.

Sementara itu, isu berhubung rancangan strategik Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk terus menjadikan Malaysia negara mesra pelabur pasca COVID-19 bagi menarik pelaburan syarikat gergasi antarabangsa akan dikupas pada persidangan hari ini.

Soalan pertama berkenaan dikemukakan Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri semasa sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan.

Selain itu, Datuk Mohd Anuar Mohd Tahir (PH-Temerloh) akan bertanya mengenai maklum balas terkini status vaksinasi kepada pekerja tempatan dan asing di sektor pembinaan kepada Menteri kerja Raya.

Datuk Dr Hasan Bahrom (PH-Tampin) pula akan mengajukan pertanyaan kepada Menteri Kanan Pertahanan mengenai perancangan aspek kebajikan khususnya perumahan mampu milik kepada anggota tentera yang bersara, berpencen atau tidak.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 17 hari hingga 12 Okt. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.