Pelan Rangka Tindakan Pembaharuan Sistem Penjagaan Kesihatan Malaysia Akan Diperkenal

KUALA LUMPUR, 27 Sept – Pelan Rangka Tindakan Pembaharuan Sistem Penjagaan Kesihatan Malaysia akan diperkenal sebagai hala tuju baharu untuk mentransformasi sistem penjagaan kesihatan negara.

Menurut dokumen Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) 2021-2025 yang dikeluarkan Unit Perancang Ekonomi, dalam merangka pelan rangka tindakan ini kajian akan dijalankan untuk memantapkan landskap sektor penjagaan kesihatan.

“Kajian ini akan merangkumi transformasi sektor penjagaan kesihatan awam, pembaharuan peraturan sektor penjagaan kesihatan swasta dan pembiayaan kesihatan yang mampan,” katanya.

Pelan dan kajian ini adalah langkah untuk memperkenalkan dasar penjagaan kesihatan di bawah strategi memperkemas perkhidmatan penjagaan kesihatan bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan penjagaan kesihatan negara yang menjadi antara keutamaan RMK12 yang dibentang di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut dokumen RMK12 itu beberapa dasar yang menyasarkan keperluan kesihatan khusus akan diperkenal seperti penjagaan kesihatan oral, kesihatan mental dan imunisasi.

Di samping itu dasar keselamatan makanan akan dikaji semula untuk melindungi rakyat daripada ancaman kesihatan dan penipuan dalam rantaian bekalan makanan termasuk penyediaan, penjualan dan penggunaan makanan, selain Akta kualiti air minum juga akan diperkenal.

Menurut dokumen itu selain memperkenalkan dasar penjagaan kesihatan, lima lagi langkah untuk memperkemas perkhidmatan penjagaan kesihatan ialah memerangi penyakit berjangkit dan memerangi penyakit tidak berjangkit.

“Tiga lagi langkah ialah memperkukuh program penjagaan kesihatan warga emas, meningkatkan kesiapsiagaan untuk mengendali krisis kesihatan dan memastikan kualiti dan akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan,” menurut dokumen itu.

Dua lagi strategi yang digariskan dalam RMK12 untuk mempertingkat penyampaian perkhidmatan penjagaan kesihatan ialah memperkukuh pembiayaan kesihatan dan kesedaran awam serta memanfaatkan teknologi.

Di bawah strategi kedua iaitu memperkukuh pembiayaan kesihatan dan kesedaran awam, langkah akan diambil untuk menangani kenaikan kos dalam menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkualiti.

Tiga langkah yang akan dilaksana ialah memastikan kemampanan kewangan untuk penjagaan kesihatan, memperkukuh perlindungan kesihatan dan mempertingkat literasi dan kesedaran mengenai kesihatan.

Platform media sosial akan dimanfaatkan bagi meningkatkan literasi kesihatan dan menangani maklumat mengelirukan yang memburukkan lagi isu kesihatan.

Strategi ketiga iaitu memanfaatkan teknologi bakal menyaksikan subsektor penjagaan kesihatan negara memanfaatkan teknologi baharu muncul bagi mengurangkan kos dan prosedur yang tidak perlu.

Dua inisiatif yang akan dilaksanakan di bawah strategi ini ialah mendigitalkan perkhidmatan penjagaan kesihatan dan meningkatkan kapasiti penyelidikan, pembangunan dan inovasi. – BERNAMA