PM Ucap Tahniah Kepada Maryam Muzamir Raih Tiga Emas Pertandingan Inovasi Dan Reka Cipta

KUALA LUMPUR, 26 Sept – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan syabas dan tahniah kepada Maryam Muzamir atas kejayaannya mengharumkan nama negara selepas meraih tiga pingat emas dalam Pertandingan Inovasi dan Reka Cipta Antarabangsa Kanada ke-6 (iCAN 2021), di Toronto, Kanada, bulan lepas.

Berbangga dengan pencapaian murid tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Perempuan Methodist, Kuantan, Pahang itu, perdana menteri turut berdoa agar Maryam terus menempa lebih banyak kejayaan pada masa hadapan.

Perdana Menteri berkata demikian dalam hantaran melalui media sosialnya hari ini.

Maryam, 11, beroleh kejayaan dalam pertandingan inovasi dan reka cipta terbesar di benua Amerika Utara itu selepas mencipta inovasi makanan haiwan daripada kulit udang dan siput sedut.

Kejayaannya turut mendapat perhatian dunia melalui siaran Rancangan TV terkemuka, The Late Late Show with James Corden.

Maryam bukan sahaja mengenepikan 600 peserta lain dari 70 negara, tetapi beliau juga menjadi pemenang termuda dalam pertandingan tersebut.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.