COVID: Khairy Ajak Ahli Farmasi Bimbing Rakyat Malaysia Ke Fasa Endemik

KUALA LUMPUR, 25 Sept – Ahli farmasi komuniti diajak untuk bersama-sama kerajaan, belajar dari satu sama lain dan membimbing rakyat Malaysia, memasuki fasa endemik pada ketika negara bersiap sedia untuk hidup bersama virus COVID-19.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, ahli farmasi komuniti itu amat penting dalam peperangan menentang COVID-19, kerana mereka merupakan titik penjagaan utama dan penjaga kepada sistem kesihatan negara.

“Andalah berada di barisan hadapan…pada ketika doktor dan hospital – mereka di barisan hadapan penjagaan kesihatan dalam keadaan terbeban – barisan berikutnya perlu bertindak, dan mereka ini adalah ahli farmasi komuniti kita.

“Sebagai profesional penjagaan kesihatan, ahli farmasi mempunyai tugas penting bukan sahaja pada waktu pandemik, tetapi selama bertahun-tahun, terlibat secara langsung dengan komuniti, berterusan menjaga pesakit…kita boleh bekerja bersama dalam bidang seperti rawatan pencegahan dan mendidik masyarakat, bukan sahaja mengenai penyakit tetapi penjagaan kesihatan,” katanya.

Khairy berkata demikian ketika merasmikan webinar bertajuk ‘Reinvent Pharmacy Biz: Adapt Beyond the Crisis’ anjuran Persatuan Farmasi Komuniti Malaysia (MCPG) bersempena sambutan Hari Ahli Farmasi Sedunia hari ini.

Khairy berkata kit ujian kendiri merupakan satu lagi tugas penting ahli farmasi komuniti bersama faksiliti penjagaan kesihatan lain, di mana farmasi merupakan saluran yang betul bagi membeli kit ujian kendiri.

Beliau berkata ahli farmasi komuniti boleh mendidik orang ramai cara penggunaan kit ujian kendiri, cara penyimpanan dan pembuangannya, selain memberikan kaunseling sebaik keputusan didapati dan malah memberikan pandangan berkaitan perbezaan yang ada antara jenama.

“Kementerian amat mengalu-alukan penglibatan MCPG untuk terlibat dan meningkatkan sistem penjagaan kesihatan kita dan kami komited untuk melihat bagaimana profesion ini terus berkembang dan terus maju dalam bidang ini.

“Seperti yang bersesuaian dengan program ini, kita kini perlu menyesuaikannya dan melihat lebih daripada krisis COVID-19 terhadap kesemua aspek penjagaan kesihatan. Tentunya, terdapat banyak perkara yang boleh kita lakukan bersama,” katanya.

Khairy turut memuji MCPG sebagai satu komuniti proaktif kerana bertindak untuk bersedia, melatih dan melengkapkan ahli-ahlinya bagi menghadapi kemungkinan peningkatan atau varian baharu, termasuk menganjurkan progam latian vaksinasi awal tahun ini. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.