82.5 Peratus Populasi Dewasa Lengkap Vaksinasi Setakat Semalam

KUALA LUMPUR, 25 Sept – Sebanyak 82.5 peratus atau 19,311,563 individu daripada populasi dewasa di negara ini telah lengkap menerima suntikan vaksin COVID-19 setakat semalam.

Berdasarkan perincian yang dikongsi menerusi portal COVIDNOW hari ini, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan sebanyak 93.6 peratus atau 21,903,061 individu daripada populasi dewasa telah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin.

Selain itu, seramai 25,326 atau 0.8 peratus daripada populasi remaja berusia 12 hingga 17 tahun telah melengkapkan suntikan vaksin setakat semalam.

Bagi kedua-dua populasi, sebanyak 273,373 dos suntikan vaksin turut diberikan semalam melibatkan 116,881 dos pertama dan 156,492 dos kedua menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos vaksin sebanyak 41,847,256 menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

PICK dilancarkan pada 24 Feb lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik COVID-19 di seluruh negara.

Sementara itu, sebanyak 250 kes kematian akibat COVID-19 dicatatkan setakat pukul 11.59 malam tadi (24 Sept), menjadikan jumlah kumulatif kematian kini sebanyak 24,931.

Menurut portal GitHub KKM, jumlah itu merangkumi sembilan kematian sebenar COVID-19 dicatatkan dalam tempoh 24 jam (24 Sept), manakala selebihnya adalah kes kematian tertunggak atau ‘backlog’.

Bagaimanapun, angka itu boleh berubah sekiranya terdapat kes kematian yang dikemas kini.

Berdasarkan graf purata jumlah kes kematian harian sebenar selama tujuh hari pula, sebanyak 91 kes kematian sebenar akibat COVID-19 dicatatkan.

Sebanyak 49 daripada jumlah kematian baharu itu dilaporkan berlaku di luar hospital (BID). – BERNAMA