81.8 Peratus Daripada Populasi Dewasa Lengkap Vaksinasi COVID-19

KUALA LUMPUR, 24 Sept – Seramai 19,156,694 individu atau 81.8 peratus daripada populasi dewasa di negara ini telah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19 setakat semalam.

Berdasarkan perincian yang dikongsi menerusi portal COVIDNOW hari ini, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan setakat semalam juga, sebanyak 93.3 peratus atau 21,847,551 individu daripada populasi dewasa sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Selain itu, seramai 23,703 individu atau 0.8 peratus daripada populasi remaja telah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19 setakat semalam.

Bagi kedua-dua populasi, sebanyak 326,612 dos suntikan vaksin turut diberikan semalam melibatkan 132,562 dos pertama dan 194,050 dos lengkap, menjadikan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) adalah sebanyak 41,573,883 dos.

PICK dilancarkan pada 24 Feb lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik COVID-19 di seluruh negara.

Sementara itu, sebanyak 116 kes kematian akibat COVID-19 dilaporkan setakat pukul 11.59 malam tadi (23 Sept), menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian di negara ini kini 24,681.

Bagaimanapun, daripada 116 kematian baharu itu, 92 kes adalah kematian sebenar yang dilaporkan berlaku semalam (23 Sept) manakala selebihnya adalah pelaporan kes kematian tertunggak dan angka boleh berubah sekiranya terdapat kes kematian yang dikemas kini.

Sebanyak 29 daripada kematian baharu itu dilaporkan berlaku di luar hospital (BID). – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.